suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rancang pembunuhan penuh teliti, sanggup sewa rumah berdekatan... Pemuda tunggu 11 tahun demi tebus nyawa ibu!

Suspek ditahan polis selepas tujuh jam mayat mangsa ditemukan orang awam.

DENDAM yang dipendam selama 11 tahun akibat menyaksikan ibu sendiri didera hingga mati akhirnya mendorong seorang lelaki merancang pembunuhan balas terhadap individu yang bertanggungjawab atas peristiwa hitam tersebut.

Suspek berusia 27 tahun itu dikatakan mula merancang jenayahnya selepas mengetahui pembunuh ibunya sudah dibebaskan dari penjara.

Kejadian dilaporkan berlaku di Sampang, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Sampang, AKBP Anang Hardiyanto, ibu suspek meninggal dunia pada 2015 akibat didera mangsa.

Ketika kejadian itu berlaku, suspek baru berusia 16 tahun dan menyaksikan sendiri penderitaan ibunya sebelum meninggal dunia.

Pengalaman tersebut menyebabkan suspek menyimpan dendam terhadap mangsa sehingga dewasa sebelum bertekad membalas kematian ibunya.

Tambah Anang, bagi menjayakan rancangannya itu, suspek berpindah ke Sampang dan tinggal kira-kira dua kilometer dari kediaman mangsa selama sebulan sebelum pembunuhan berlaku.

Sepanjang tempoh itu, suspek dipercayai memantau segala pergerakan individu terbabit termasuk menghafal waktu mangsa keluar dan pulang ke rumah.

"Selama sebulan itu, pelaku memantau kegiatan mangsa.

"Pelaku juga mengetahui tempat mangsa biasanya meletakkan motosikalnya," katanya pada Jumaat.

Susulan itu, pada kira-kira pukul 11 malam Rabu, suspek mengekori mangsa dengan berjalan kaki menuju ke Dusun Pesisir Barat, Desa Dharma Camplong.

Suspek melihat mangsa meletakkan motosikal sebelum bergerak ke laut untuk memancing.

Dia kemudian bersembunyi berhampiran sebuah lori sampah tidak jauh dari lokasi motosikal mangsa sambil menunggu lelaki itu pulang.

Kira-kira pukul 2 pagi Khamis, suspek bertindak menyerang mangsa sehingga tidak lagi bergerak sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemukan penduduk tempatan yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh hanya tujuh jam.

Malah hasil soal siasat mendapati suspek mengaku merancang dan melakukan pembunuhan itu seorang diri kerana masih bersedih serta berdendam atas kematian ibunya.

Suspek didakwa mengikut Perkara 459 Kanun Jenayah Indonesia yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. -Agensi

Artikel Lain