SEORANG wanita dan bayi yang baru dilahirkan meninggal dunia selepas menjalani proses bersalin di sebuah hospital swasta pada Selasa.Apa yang mengejutkan, hospital tersebut dipercayai beroperasi secara haram berikutan telah disita sejak tahun lalu. Berdasarkan laporan, tragedi menyayat hati di Hospital Indrajeet, Ratanpura, India itu terbongkar selepas suami mangsa membuat aduan berhubung rawatan diterima isterinya.Ajit Rajbhar mendakwa isterinya, Sarita dibawa ke hospital tersebut pada 8 September atas nasihat seorang petugas kesihatan sosial bertauliah (ASHA).Dakwanya lagi, seorang doktor dikenali sebagai Dr Himanshu Yadav memaklumkan keadaan Sarita serius dan mencadangkan supaya pembedahan dilakukan.Bagaimanapun, bayi mereka dilaporkan meninggal dunia selepas dilahirkan manakala Sarita pula mengalami pendarahan berterusan.Ajit mendakwa kakitangan hospital kemudian enggan meneruskan rawatan terhadap isterinya meskipun keadaan wanita itu semakin parah. Cemas dengan situasi yang terjadi, dia kemudiannya membawa mangsa ke sebuah hospital swasta di Mau sebelum wanita berkenaan dirujuk ke Varanasi untuk mendapatkan rawatan lanjut.Namun malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik sahaja tiba di sebuah hospital swasta di Varanasi.Ketua Pegawai Perubatan, Dr Pankaj Rai berkata, Hospital Indrajeet sebenarnya telah disita pada 2025 atas arahan majistret daerah.Malah hasil pemeriksaan mendapati, kunci pada pintu masuk utama hospital masih berada dalam keadaan baik, namun premis berkenaan dipercayai terus beroperasi menerusi laluan yang dibuka di bahagian belakang bangunan.Susulan kejadian itu, jabatan kesihatan dengan kerjasama majistret daerah kecil bertindak menyita hospital tersebut sekali lagi.Aduan turut dibuat terhadap pengendali hospital dan tindakan sedang diambil bagi membolehkan laporan maklumat pertama (FIR) didaftarkan.Pihak pentadbiran kini menyiasat bagaimana rawatan masih boleh dijalankan di hospital berkenaan walaupun premis itu telah disita sejak tahun lalu. -Agensi