SEORANG lelaki berusia 22 tahun ditahan selepas disyaki menyimbah air mendidih ke muka ibunya sendiri sehingga wanita tersebut mengalami melecur teruk sebelum meninggal dunia.Kejadian berlaku di kediaman mereka di Yonago, Wilayah Tottori, Jepun antara pukul 6.15 petang hingga 6.45 petang pada 6 September lalu. Berdasarkan laporan pada Jumaat, suspek, Chihiro Kakemoto yang bekerja di sebuah syarikat kemudian menghubungi talian kecemasan 119 kira-kira pukul 8.30 malam 8 September.Dalam panggilan tersebut, dia memaklumkan bahawa ibunya, Yuko Kakemoto, 51, sedang mengerang kesakitan.Menurut polis, mangsa mengalami melecur serius pada bahagian pipi kanan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Bagaimanapun, keadaan wanita berkenaan dilaporkan merosot secara tiba-tiba sebelum dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi Rabu.Punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.Susulan itu, suspek yang merupakan seorang pekerja syarikat ditahan atas dakwaan melakukan serangan terhadap ibunya.Malah dia turut mengaku mencurahkan air mendidih ke muka mangsa, namun tidak mendedahkan punca sebenar kejadian.Dalam pada itu, jiran mangsa berkata, Kakemoto berpindah ke kediaman tersebut bersama ibu bapanya kira-kira empat tahun lalu.Namun keluarga berkenaan dikatakan jarang bergaul atau berinteraksi dengan penduduk di kawasan kejiranan mereka. -Agensi