SUASANA panik tercetus di sebuah bank apabila seorang lelaki bertindak menabur serbuk cili merah ke arah pekerja sebelum melarikan wang tunai pada Khamis.Dalam kejadian pukul 6 petang itu semua kakitangan bank sedang menjalankan tugas seperti biasa. Menurut laporan, suspek memasuki premis dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum menghampiri kaunter tunai.Tanpa disedari kakitangan, lelaki itu kemudian mengeluarkan serbuk cili merah yang disembunyikan sebelum menaburkannya ke arah mata pekerja bank.Tindakan tersebut menyebabkan suasana menjadi kelam-kabut apabila beberapa pekerja yang terkena serbuk cili bertempiaran menyelamatkan diri.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di State Bank of India (SBI) di Nagpur, Maharashtra di India itu menunjukkan suspek memakai kurta merah dan seluar hitam selain menutup keseluruhan wajahnya ketika melakukan perbuatan tersebut.Mengambil kesempatan ketika kakitangan berada dalam keadaan tidak berdaya, suspek mengambil wang tunai sebanyak 400,000 rupee (kira-kira RM19,000) dari kaunter sebelum melarikan diri.Beberapa pekerja bank bersama seorang pengawal keselamatan cuba mengejarnya, namun suspek berjaya meloloskan diri di kawasan sesak.Pihak bank kemudian menghubungi polis yang segera meneliti rakaman CCTV di dalam dan sekitar premis bagi mengenal pasti suspek serta arah dia melarikan diri.Polis seterusnya mendirikan sekatan di beberapa lokasi dan mengarahkan pasukan peronda melakukan pencarian.Hasil tindakan pantas itu, suspek berjaya dikesan dan ditahan hanya dalam tempoh 30 minit selepas kejadian.Kesemua wang tunai yang dilarikan turut berjaya ditemukan semula, manakala suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.-Agensi