suria

Panas! Dakwaan Veveonah tak ambil exam berterusan... timbalan menteri petik MP Kudat, pensyarah beri info – “Maklumat mana yang nak kita rujuk”

Zahidi (gambar kecil) memohon maaf kepada Veveonah atas kenyataannya di Dewan Negara pada Khamis.

ISU dakwaan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin tidak mengambil peperiksaan sebagaimana yang dipaparkan menerusi videonya memanjat pokok untuk mencari capaian internet, nampaknya terus berpanjangan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa bahawa maklumat yang diterimanya mengenai Veveonah diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga timbalan menteri kewangan 1.

"Dimaklumkan kepada saya bahawa adik Ve ini adalah YouTuber dan hari tersebut tidak ada peperiksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa Veveonah tak ambil peperiksaan, video panjat pokok hanya sekadar 'content' YouTube... Timbalan Menteri mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup bermalam atas pokok, nyaris disengat tebuan demi akses Internet untuk jawab peperiksaan

"Dan maklumat yang diperoleh oleh wakil rakyat kawasan tersebut adalah daripada pensyarahnya yang juga seorang profesor dan doktor pensyarah kanan. Jadi dimaklumkan perkara tersebut kepada timbalan menteri tersebut iaitu wakil rakyat," katanya pada sidang media di Dewan Negara di Parlimen, pada Isnin.

Sehubungan itu, Zahidi yang merupakan Ahli Parlimen Padang Besar menjelaskan tentang sumber maklumat berkenaan Veveonah yang dikongsikan kepada beliau.

"Dalam isu Tidak Pasti Jangan Kongsi ini maklumat mana yang nak kita rujuk kerana sudah jadi amalan di Parlimen ini pertama sekali bahawa kita akan rujuk wakil rakyat.

"Dan apabila kita rujuk wakil rakyat, apa-apa yang ditimbulkan oleh wakil rakyat akan dijawab menteri dan timbalan menteri.

"Maka, wakil rakyat tersebut dah maklum kepada kita dan dia mendapat maklumat daripada pensyarah," katanya.

Menurut Zahidi, beliau akan ke UMS untuk bertemu dengan pensyarah berkenaan termasuk Veveeonah bagi mendapatkan maklumat sebenar.

Kenyataan terbaharu itu dibuat beberapa hari selepas Zahidi membuat permohonan maaf kepada Veveonah di atas dakwaan tersebut, minggu lalu.

Zahidi menjelaskan bahawa beliau menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.

Terdahulu, Zahidi dalam perbahasan di Parlimen pada Khamis mendakwa remaja itu tidak menjawab sebarang peperiksaan ketika rakaman video memanjat pokok itu dibuat.

Veveonah, dari Pitas, Sabah, menjadi perhatian pada Jun lalu susulan videonya terpaksa memanjat pokok di kampungnya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik dalam membolehkan beliau menjalani ujian, tular di internet.

Kisah tersebut menarik perhatian ramai sehingga ahli politik serta pihak bertanggungjawab melawat kampungnya dalam usaha memberi bantuan serta menawarkan rangkaian internet yang lebih baik

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain