suria

Bekalan air di 811 kawasan pulih sepenuhnya pada petang Ahad

Bekalan air di kawasan yang terjejas mula pulih secara berperingkat sejak Jumaat.

SETAKAT pukul 6.30 petang Ahad, bekalan air di 811 kawasan atau 62.7 peratus sekitar Lembah Klang yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, dilaporkan telah pulih sepenuhnya.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri, baki 481 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Beliau berkata Wilayah Kuala Selangor mencatat peratusan pemulihan paling tinggi iaitu 99.2 peratus, diikuti Hulu Selangor (94.1 peratus); Gombak (66.4 peratus); Petaling (66.1 peratus); Kuala Langat (50 peratus); Kuala Lumpur (41.3 peratus); dan Klang/Shah Alam (24.2 peratus).

"Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor juga memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Gangguan bekalan air di Lembah Klang bermula sejak Khamis apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Sementara itu, Air Selangor juga menafikan mesej viral melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai bekalan air yang akan ditutup semula dan catuan akan dilakukan, serta isu kualiti air yang tidak selamat di premis, yang perlu dibiarkan selama sehari sebelum boleh digunakan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain