suria

Bekalan air di 618 kawasan pulih sepenuhnya, 674 lagi dalam proses pemulihan

Gangguan bekalan air di Lembah Klang pulih secara berperingkat.

BEKALAN air di 618 kawasan atau 47.83 peratus sekitar Lembah Klang yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, dilaporkan telah pulih sepenuhnya setakat 12.30 tengah hari Ahad.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan, baki 674 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor beri amaran, gangguan bekalan air mungkin berlarutan 4 hari

Beliau berkata Hulu Selangor mencatat peratusan pemulihan tertinggi setakat ini iaitu 94.1 peratus, diikuti Kuala Selangor (93.5 peratus), Petaling (57.2 peratus), Kuala Langat (50 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus), Klang dan Shah Alam (24.2 peratus) serta Gombak (11.3 peratus).

"Air Selangor menasihati pengguna yang telah menerima bekalan air agar menggunakan secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan untuk kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan," katanya.

Elina turut memohon orang ramai memberi kerjasama kepada petugas agensi itu.

Air Selangor juga akan memaklumkan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa menerusi Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang agensi berkenaan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain