suria

Akhirnya! Khairuddin kena kompaun RM1,000 tak patuh SOP

KKM telah mengeluarkan kompaun kepada Mohd Khairuddin kerana melanggar SOP. Foto Bernama

AKHIRNYA! Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali didapati telah melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan pada petang Sabtu.

Menurut KKM, satu kompaun telah dikeluarkan ke atas Mohd Khairuddin setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP kuarantin: Ismail Sabri beri jaminan tiada siapa terlepas - "Menteri, timbalan menteri kalau salah pasti dikenakan tindakan"

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh menteri didakwa tak kuarantin selepas pulang dari Turki, ujian Covid-19 negatif

"Oleh kerana Datuk Dr Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos 2020.

"Dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut," menurut kenyataan itu.

KKM dalam kenyataannya turut memberitahu bahawa Mohd Khairuddin yang pulang dari Turki pada 7 Julai lalu telah melakukan ujian swab kali pertama pada hari yang sama dan didapati negatif.

"Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif," tambah kenyataan itu.



Kenyataan media berhubung isu kuarantin Mohd Khairuddin.

Mohd Khairuddin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini apabila didakwa tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air dari Turki, awal bulan lalu.

Perkara itu menjadi kecoh selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan di Parlimen bahawa Mohd Khairuddin pada Julai lalu berkunjung ke Turki dan kini telah melakukan perlanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebagai menjawab dakwaan itu, Mohd Khairuddin berkata, beliau menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali iaitu ketika tiba di Malaysia dari Turki pada 7 Julai, 13 hari kemudian, dan baru-baru ini kerana mahu menghadiri majlis di Istana Negara, di mana ketiga-tiga hasil ujian menunjukkan negatif.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain