suria

Surat sokongan bukan jaminan dapat jawatan - “Saya tak campur tangan dari segi pelantikan”

Ismail Sabri (tengah) beramah mesra bersama Veteran ATM ketika hadir di majlis bersama Veteran Angkatan Tentera sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Felda Gunung Besout 2 hari ini. Foto: Bernama

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan untuk melantik individu untuk mana-mana jawatan dalam organisasi adalah hak organisasi terbabit.

Tegasnya lagi, pemberian sokongan termasuk menandatangani surat permohonan bukan jaminan untuk seseorang individu mendapat jawatan dalam mana-mana organisasi.

"Macam-macam orang datang minta sokongan daripada saya dan saya akan sokong. Sokongan bukan bermakna (permohonan) dipenuhi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Slim River di Felda Besout 2 pada Sabtu.

Ismail berkata demikian sebagai mengulas mengenai sokongan beliau terhadap surat permohonan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz agar anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat farmaseutikal yang tular sejak semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata beliau menyokong permohonan itu kerana anak timbalan menteri terbabit merupakan seorang graduan dalam bidang kejuruteraan awam dan peniaga yang berjaya, seterusnya berpotensi membantu syarikat farmaseutikal berkenaan.

Tambahnya, walaupun permohonan itu mendapat sokongan beliau, namun difahamkan pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemilik syarikat farmaseutikal tersebut tidak melantik anak timbalan menteri berkenaan.

"Saya tidak campur tangan daripada segi pelantikan. Itu kuasa LTAT, jadi surat (permohonan sokongan) setakat surat," katanya.

Beliau turut memuji timbalannya kerana tidak menyalahgunakan kuasa dengan secara terus mengajukan surat permohonan pelantikan anak beliau kepada LTAT.

"Dia (timbalan menteri) tak perlu hantar kepada saya (surat permohonan sokongan), dia boleh terus (hantar) kepada pengerusi syarikat kerana pelantikan ahli lembaga pengarah adalah daripada pihak LTAT sendiri," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain