Sah! Bukit Aman terima maklumat pegawai, anggota polis disyaki lindungi premis judi

Klip video yang dikongsikan oleh Mohd Asri di Facebook.

HANGAT diperkatakan tentang pembongkaran aktiviti perjudian haram di sekitar Sungai Buloh di Selangor.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis disyaki melindungi premis judi haram di sekitar Sungai Buloh.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti maklumat yang diterima termasuklah premis-premis judi yang ada di sekitar Sungai Buloh.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Pemilik bisnes burger bongkar aktiviti haram di Sungai Buloh... rupa-rupanya lelaki berjanggut ini banyak bantu orang susah, siap sediakan tempat tinggal

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat dakwaan pihak berkuasa lindungi perniagaan haram, premis judi di Sungai Buloh

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi perhatian ramai selepas bongkar aktiviti haram, pemilik bisnes burger jumpa KPN

Beliau berkata, perkara yang diteliti antaranya termasuklah serbuan dan rampasan perjudian yang telah dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

"Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan maka tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

"Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah ia akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya, ” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Bernama pada Isnin melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan terhadap pihak berkuasa yang cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain