suria

SPRM siasat dakwaan pihak berkuasa lindungi perniagaan haram, premis judi di Sungai Buloh

SPRM akan menyiasat dakwaan bahawa pihak berkuasa tertentu cuba melindungi aktiviti perniagaan haram dan perjudian di Sungai Buloh sebagaiman video yang tular baru-baru ini.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan bahawa pihak berkuasa tertentu cuba melindungi aktiviti perniagaan haram dan perjudian di Sungai Buloh.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM memandang serius dakwan yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini.

Ahmad Khusairi memaklumkan beliau telah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berhubung perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Pemilik bisnes burger bongkar aktiviti haram di Sungai Buloh... rupa-rupanya lelaki berjanggut ini banyak bantu orang susah, siap sediakan tempat tinggal

"Beliau (Zamri) memberitahu SPRM bahawa tindakan akan diambil terhadap premis yang menjalankan perjudian haram.

"Tindakan juga akan diambil terhadap pegawai yang melindungi kegiatan ini," katanya pada Isnin.

"SPRM akan memberi tumpuan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa atas kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh," katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk memberikan maklumat kepada SPRM mengenai sebarang kesalahan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa daripada menularkan perkara itu di media sosial.

Terdahulu, dua klip video yang dimuat naik oleh pemilik perniagaan burger, Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut menjadi viral di Facebook.

Menerusi video tersebut, lelaki itu mendakwa premis perniagaan penjualan rokok haram dan aktiviti perjudian yang berleluasa di Sungai Buloh 'kebal' daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

SPRM, judi, rokok seludup, Sungai Buloh

Artikel Lain