suria

Covid-19: 13 kes positif direkodkan, 2 lagi kluster baharu dikesan

Malaysia catat 13 kes baharu Covid-19 pada Ahad.

PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini merekodkan 13 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,083 kes setakat Ahad.

Daripada 13 kes baharu yang telah dilaporkan, sembilan kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara

ARTIKEL BERKAITAN: Daripada 8,011 individu pulang dari luar negara sejak 24 Julai, seramai 20 sah dijangkiti Covid-19

Empat kes selebihnya merupakan penularan di dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 125 kes kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak kekal 125 kes," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sehingga hari ini, sembilan kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,784 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, satu kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengenai kluser Sivagangga, setakat Ahad, 4,636 orang telah disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah ini, 45 dikesan positif Covid-19.

Seramai 4,078 individu disaring di Kedah, 390 di Perlis dan 168 di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat dua kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini.

Berikut perincian dua kluster tersebut:

1) Kluster Kurau

Dua kes positif telah dikesan dalam kluster ini. Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9050) merupakan kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan pada 7 Ogos 2020.

Kes kedua kluster ini (iaitu kes ke-9082) merupakan abang ipar kepada kes ke-9050, yang mana beliau telah dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat.

Susulan itu, beliau sekeluarga yang berada di Pulau Pinang telah turut disaring. Pada 9 Ogos 2020, beliau dikesan positif Covid-19 manakala, ahli keluarga beliau yang disaring setakat ini (iaitu lima orang) pula dikesan negatif.

Setakat ini sejumlah 115 individu kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah ini, 106 negatif dan sembilan masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan.

2) Kluster Meranti

Kluster ini mula dikesan apabila kes ke-9083, iaitu seorang petugas kesihatan dikesan positif Covid-19 pada 8 Ogos 2020. Beliau mempunyai kontak kepada kes ke-8968, iaitu kes Covid-19 yang telah dikesan hasil daripada saringan pra pembedahan (kes ini telah dilaporkan pada 31 Julai 2020).

Setelah disiasat, kes ke-8968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9083 telah bertugas. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) sedang dijalankan di mana setakat ini 15 individu telah disaring. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain