Lagi berita palsu kematian Pak Lah, laporan polis akan dibuat esok

Laporan polis akan dibuat esok di Putrajaya berikutan penularan berita palsu kematian bekas perdana menteri itu.

BERITA kematian mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi tersebar di media sosial.

Berita palsu itu dihidangkan menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian bekas pemimpin negara yang mesra disapa Pak Lah itu.

Pada 2 Ogos lepas, mesej yang sama turut digembar-gemburkan mengenai keadaan kesihatan Abdullah Badawi, 81 yang juga Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009.

Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan berkata beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas perdana menteri itu.

Jefridin berkata beliau memandang serius berkenaan mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.

"Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya ringkas kepada Bernama.

Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua ketika dihubungi berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.

"Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari, saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian, ” kata Teoh yang kini merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM). - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Pak Lah, Jefridin, palsu, kematian, polis

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik