suria

Dr Noor Hisham ingatkan orang awam tak ancam kes indeks Kluster PUI Sivagangga

Penduduk sekitar kawasan Napoh menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh hari ini berikutan terdapat kluster baharu yang dikenalpasti iaitu Kluster Sivagangga. Foto: Bernama

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati masyarakat agar tidak mengambil tindakan berupa ancaman fizikal terhadap pesakit Covid-19 kes indeks 8,937 yang menjadi punca jangkitan kepada Kluster PUI Sivagangga.

Dr Noor Hisham berkata, sebaliknya mereka harus menyerahkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Empat mukim di Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran, 7,000 penduduk jalani ujian saringan

"Individu tersebut memang telah melanggar kepatuhan dan kita telah denda individu itu. Jangan kita menjalankan atau mengambil undang-undang di tangan kita.

"Biarkan penguatkuasaan jalankan dan gunakan Akta 342 dan akta lain yang berkaitan," katanya dalam sidang media pada petang Isnin.

Kluster PUI Sivagangga menular selepas seorang individu yang juga pemastautin tetap pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu (kes ke-8,937).

Dia yang juga pemilik kedai nasi kandar di Napoh, Jitra itu dilaporkan melanggar SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana mereka yang dikuarantin tidak dibenarkan keluar daripada rumah.

Sehingga kini seramai sebanyak 425 orang sudah disaring dan daripada jumlah tersebut, 21 kes dikesan positif Covid-19,362 negatif dan 42 masih menunggu keputusan.

Sementara itu ujar Dr Noor Hisham, kerajaan akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ujarnya, langkah itu perlu kerana KKM berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif Covid-19.

"Cabaran kementerian untuk mengesan kontak rapat sebab pertama, premis tidak menggunakan MySejahtera atau aplikasi lain.

"Kedua, premis tiada mempunyai rekod pelanggan. Sepatutnya premis perlu ada rekod pelanggan termasuk nombor telefon pelanggan yang masuk ke premis tersebut," katanya.

Menjawab soalan mengenai tindakan KKM mengesan kontak rapat di premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, Dr Noor Hisham berkata KKM telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di kawasan terlibat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan Pejabat Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara dengan pengecualian dibenarkan di kawasan luar bandar, bandar kecil yang tidak mempunyai capaian Internet. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain