suria

GoJek: Jangan ketepikan Dego Ride - Pengasas

Dego Ride merupakan syarikat tempatan yang pertama memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini pada 2016, sebelum ia diharamkan beroperasi atas faktor keselamatan.

PENYEDIA perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride yang pernah beroperasi di Malaysia pada 2016 berharap diberi peluang jika cadangan perkhidmatan itu mendapat lampu hijau kerajaan.

Pengasasnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, pihaknya berharap kerajaan tidak mengetepikan Dego Ride yang pernah menyediakan perkhidmatan itu di negara ini.

Jelasnya, syarikat itu tidak pernah putus asa dan sentiasa berhubung dengan pelbagai kementerian berkaitan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga kini.

“Saya memang optimis terhadap industri dan kerajaan, pada waktu sama juga realis iaitu berpegang kepada kenyataan. Jadi saya perlu tunggu pengumuman  Kabinet sama ada perkhidmatan tersebut dibenarkan atau tidak.

“Jika ia dibenarkan, Dego Ride berharap diberikan peluang dan mendapat keutamaan dalam pasaran khusus (niche market) untuk menyediakan perkhidmatan yang seumpamanya dengan pemain industri lain,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet Setuju Haramkan Dego Ride

ARTIKEL BERKAITAN: Dego Ride Arah 6,000 Penunggang Henti Operasi Serta-Merta

ARTIKEL BERKAITAN: Dego Ride buka buku baru

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima kertas cadangan daripada pelabur swasta dalam perkhidmatan pengangkutan termasuk cadangan daripada perkhidmatan teksi motosikal, GoJek.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata cadangan mengenai perkara itu juga akan dibentangkan kepada kabinet oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan kementeriannya akan meneliti perkara itu dari setiap sudut termasuk implikasi perkhidmatan itu.

Gambar fail Nabil Feisal Bamadhaj.

Mengenai GoJek, Nabil melihat pembabitan syarikat rangkaian pengangkutan dan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia, sebagai satu persaingan sihat. 

“Saya percaya persaingan itu baik untuk ekosistem dan juga pekerjaan semua pihak dalam ekosistem itu. Persaingan perlu untuk perkhidmatan yang lebih baik.

“Tapi lebih baik sekiranya ia adalah persaingan yang sihat, dan bukannya persaingan untuk mengalahkan satu sama lain. Sebab itu, sebagai pemain tempatan, Dego Ride berharap diberikan lebih peluang untuk pasaran khusus,” katanya.

Menurut Nabil, dia merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan Syed Saddiq termasuk kementerian-kementerian berkaitan mengenai perkhidmatan Dego Ride sekiranya cadangan perkhidmatan teksi motosikal itu dipersetujui Kabinet.

“Selain kementerian-kementerian berkaitan, Dego Ride telah lama berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan di bawah Syed Saddiq. Memang ada perancangan untuk berjumpa dengan kementerian yang terlibat sekiranya pengumuman Kabinet itu adalah positif.

“Apapun, saya menghargai usaha kerajaan sedia mendengar pandangan saya dan turut menyokong pemain tempatan serta membawa masuk pemain asing untuk membangunkan ekosistem dengan terancang,” katanya.

Dego Ride hangat diperkatakan apabila memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 sebelum ia mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan mengharamkannya daripada terus beoperasi atas faktor keselamatan.

Syed Saddiq baru-baru ini berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek. 

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan GoJek untuk diperkenalkan di negara ini. 

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Artikel Lain