suria

Utusan akan terus beroperasi, dua akhbar naik harga

SYARIKAT akhbar Utusan Melayu (M) Berhad yang dikatakan bakal menutup operasinya ekoran masalah kewangan kritikal akan meneruskan penerbitan dua akhbarnya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! 

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar kepada mStar, selepas satu pertemuan di antara Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir bersama kakitangan syarikat itu, petang Selasa.

“Berdasarkan pertemuan pengerusi dan kakitangan pada petang tadi, beliau memaklumkan bahawa operasi Utusan dan Kosmo! akan diteruskan seperti biasa.

“Nak tutup Utusan tu sekadar khabar angin. Walaupun dalam keadaan kritikal ketika ini, operasi tetap diteruskan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Utusan tidak mampu bayar gaji, bakal ditutup

Muhammad Basir berkata, kakitangan Utusan juga akan menerima bayaran pendahuluan tunggakan gaji berjumlah RM2,000 selewat-lewatnya malam Selasa.

Katanya, pengesahan mengenai pembayaran gaji itu dimaklumkan menerusi pekeliling yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia, Mohd Nazlan Osman.

Pendahuluan itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan kewangan semasa, syarikat.

Penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan diteruskan seperti biasa.

Dalam pada itu menurut Muhammad Basir, orang ramai turut diminta untuk terus membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sekiranya mereka mahu memastikan operasi syarikat berkenaan diteruskan.

“Pengerusi minta orang ramai terus membeli akhbar Utusan dan Kosmo! sekiranya mereka benar-benar sayangkan Utusan dan mahu Utusan terus bertahan.

“Kita minta orang ramai terus menyayangi akhbar-akhbar utusan menerusi kempen ini selamatkanlah Utusan, belilah akhbar Utusan,” tambahnya.

Sempena kempen tersebut, Muhammad Basir berkata, harga kedua-dua akhbar itu dinaikkan sebanyak 50 sen bermula Jumat, masing-masing daripada RM1.50 kepada RM2 untuk Utusan Malaysia dan dari RM1 kepada RM1.50 senaskhah bagi Kosmo!

Harga Mingguan Malaysia keluaran setiap Ahad bagaimanapun dikekalkan RM2 senaskhah.

Utusan dilaporkan berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Susulan perkara itu, kira-kira 100 kakitangannya berpiket di hadapan ibu pejabat syarikat berkenaan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bagi menuntut gaji tidak dibayar antara Jun hingga Ogos 2019.

Ia turut melibatkan bekas kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

Artikel Lain