suria

Wanita lapor dakwaan gangguan seksual, doktor pertimbang untuk saman

Seorang wartawan mendakwa seorang doktor melakukan gangguan seksual semasa menjalani pemeriksaan terhadap tulang kering kakinya. Gambar sekadar hiasan

SEORANG doktor disiasat kerana didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pesakit di kliniknya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pesakit itu yang merupakan wartawan berusia 28 tahun mendakwa dirinya disentuh dengan cara yang tidak sopan oleh seorang pakar dermatologi semasa menjalani pemeriksaan di klinik tersebut, pada Jumaat lalu (16 Ogos).

"Saya menjalani pemeriksaan di bahagian tulang kering kaki.

"Semasa diberikan konsultasi, dia menyentuh bahagian bawah paha saya dan lutut beberapa kali meskipun saya meminta dia berhenti daripada berbuat demikian," katanya kepada The Star pada Selasa.

Susulan perkongsian mengenai pengalamannya itu di media sosial, mangsa berkata, dia dimaklumkan oleh orang ramai yang mendakwa mereka mengalami pengalaman yang serupa dengan doktor yang sama.

"Sesetengah insiden baru berlaku seperti beberapa minggu lalu," tambah mangsa.

Dia turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan siasatan sedang dijalankan.

"Ya, kami sedang siasat.

"Setakat ini, kita telah merakamkan keterangan daripada pihak yang berkaitan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, pakar dermatologi itu tampil menjawab dakwaan itu.

"Dakwaan itu tidak berasas dan mendakwa pemeriksaan bahagian tulang kering ke buku lalinya seperti gangguan seksual.

"Seorang jururawat terlatih turut serta semasa konsultasi selama lima minit itu," katanya dalam satu kenyataan.

Doktor itu berkata, dia sedang mempertimbangkan untuk melakukan tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat dakwaan tersebut. - The Star

seksual, doktor, dermatologi

Artikel Lain