suria

Kabinet beri lampu hijau, GoJek bakal beroperasi di Malaysia

GoJek merupakan kaedah pengangkutan popular di Indonesia.

KABINET pada asasnya bersetuju untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu membincangkan perkara itu secara terperinci dan memberi lampu hijau untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

"Kabinet pada asasnya bersetuju untuk melaksanakan GoJek.

"Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan diminta untuk bekerjasama dan membincangkan undang-undang yang perlu dipinda atau diwujudkan bagi membolehkan perkhidmatan ini dilaksanakan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Tekun Mart di kementeriannya di Putrajaya.

Mohd Redzuan berkata ia mungkin mengambil masa selama sebulan atau dua bulan bagi dua kementerian itu memikirkan kaedah bagi membolehkan perkhidmatan itu dilaksanakan yang kemudiannya akan mendapat kelulusan Kabinet.

Katanya, adalah penting perkhidmatan teksi motosikal itu beroperasi secara sah jika dilaksanakan di negara ini.

"Kami mahu memastikan apa sahaja yang kami laksanakan untuk membangunkan ekonomi belia tidak melanggar undang-undang," katanya.

Idea perkhidmatan teksi motosikal dibangkitkan susulan satu mesyuarat antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengasas GoJek, Nadiem Makarim dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

GoJek, Kabinet

Artikel Lain