suria

Kabinet Setuju Haramkan Dego Ride

PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengangkutan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal 'Dego Ride' atas faktor keselamatan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya diminta  memberi penerangan kepada orang ramai tentang faktor perkhidmatan itu perlu dihentikan.

"Kita tidak akan membenarkan perkhidmatan itu (Dego Ride) terus beroperasi dan saya harap mereka akan menghentikan perkhidmatan ini," katanya ketika ditemui pemberita di kementeriannya selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, di sini Rabu.

Ditanya sama ada beliau sedia untuk bertemu dengan wakil syarikat Dego Ride, Liow berkata beliau terbuka untuk bertemu namun tetap dengan pendirian untuk mengharamkan perkhidmatan itu atas faktor keselamatan penumpang.

Katanya, setakat ini tiada wakil Dego Ride berjumpa dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan saman yang dikeluarkan terhadap pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan itu.

"JPJ telah saman beberapa beberapa penunggang Dego Ride dan apabila mereka disaman, wakil syarikat juga dipanggil untuk soal siasat. Setakat ini (mereka) belum datang," katanya.

Pada Selasa, JPJ dilaporkan mengeluarkan saman kepada tiga pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan Dego Ride kerana telah menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Sebelum ini, Liow berkata perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas. - BERNAMA

Dego Ride, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain