suria

653 Tan Beras Rampasan Akan Dijual - Kastam

SIBU: Sebanyak 653,850 kilogram beras yang dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDM) Sibu tahun lalu tidak akan dimusnahkan, sebaliknya dijual kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Malaysia, Datuk Paddy Abd.

Halim berkata pilihan utama diberikan kepada Bernas untuk membelinya diikuti peruncit yang diluluskan Bernas. 

"Kita akan mendapatkan kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memberi persetujuan kepada Bernas membeli beras itu dan kalau bukan Bernas, kita akan jual kepada peruncit," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan penyeludupan 36 kontena barangan seludup dengan nilai cukai keseluruhan lebih daripada RM3.8 juta, di sini pada Rabu.

Sebanyak 25 daripada kontena yang mengandungi beras, diikuti bir sebanyak empat kontena dan tujuh lagi membawa tayar, dirampas di Pelabuhan Rajang di sini pada 26 Oktober dan 8 November tahun lalu.

Beliau berkata, semakan mendapati beras tersebut diikrar sebagai barang perkakasan, tayar sebagai jentera terpakai manakala bir sebagai pelbagai barangan runcit.

Nilai cukai beras tersebut dianggarkan RM1.8 juta, bir (RM883,319) manakala tayar (RM1.2 juta) 

Kesemua barangan itu disita mengikut Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa permit yang sah. 

Paddy mengesahkan setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat berhubung penahanan barangan itu tetapi memberitahu pihaknya masih meneruskan siasatan.

Beliau turut berkata, bir terbabit akan dijual kepada pengedar untuk tujuan eksport sahaja dan tidak kepada peruncit manakala tayar berkenaan akan dimusnahkan.

Kastam, Bernas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain