SEMINGGU Fatimah menahan air matanya daripada jatuh selepas bapa saudara kesayangan yang juga seorang chef selebriti, Muhammad Adam Mahamed Ismail pergi buat selama-lamanya.
Kepetahannya bertutur di depan lensa kamera dirindui peminat setia Instagram trio popular @thefamily.uk dan tidak kurang juga yang mendoakan agar Fatimah kuat menerima takdir Yang Maha Esa.
ARTIKEL BERKAITAN: Adamdidam rai Aidilfitri di Birmingham tanpa baju, duit raya
ARTIKEL BERKAITAN: Adamdidam Selesa 'Berasap' Di Dapur
ARTIKEL BERKAITAN: Chef selebriti Adamdidam meninggal dunia
Selepas Adam atau lebih dikenali sebagai Adamdidam menghembuskan nafas terakhir pada pagi 19 Mei lalu, kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak mengalirkan air mata dan enggan bercakap dengan sesiapa.
Fatimah menahan air matanya daripada jatuh selepas Adam meninggal dunia. - Instagram @adamdidam
Setelah sekian lama mendiamkan diri, ibu mereka, Nor Ashila Mahamed Ismail, 39, akhirnya membuka mulut berkongsi keadaan anak-anaknya selepas Adam meninggal dunia.
"Selepas Adam pergi, Ali demam beberapa hari dan masih berharap Mamajee (Adam) pulang. Muktar pula mungkin kerana dia sudah dewasa, jadi dia boleh mengawal perasaan.
"Fatimah tidak boleh menangis pada mulanya, tapi Sabtu lalu (25 Mei) dia tiba-tiba hilang arah dan meraung selepas Mamajee datang dalam mimpinya," katanya kepada mStar.
Menurut wanita yang menetap di Birmingham, England itu, dia berasa lega apabila melihat Fatimah akhirnya menangis dan seakan-akan mula menerima ketiadaan bapa saudaranya.
Tubuh Fatimah juga susut kerana tidak lalu makan dan tidur yang tidak menentu.
Video meruntun hati perpisahan antara Adam, Fatimah dan Ali di United Kingdom yang dirakam dua tahun lalu.
Tambah Nor Ashila, hubungan anak-anaknya dengan Adam terlalu akrab kerana pemuda itu ibarat ibu dan bapa yang menjaga Fatimah dan Ali sejak kecil.
"Daddy (bapa Fatimah) bawa dia keluar bersiar-siar berdua untuk buat dia rasa better.
"Tapi, Fatimah ingat dan cuba relate semua yang dilihatnya dengan Mamajee. Seperti tempat yang mereka selalu kunjungi bersama," jelas Nor Ashila yang merancang untuk membawa Fatimah bertemu doktor sekiranya keadaan kanak-kanak itu masih tidak berubah.
Raya tanpa Adam
Tiada siapa menduga bahawa Syawal tahun lalu menjadi kenangan terakhir mereka sekeluarga menyambutnya dengan cef kesayangan rakyat Malaysia itu.
Tinggal kenangan. Ucapan Syawal terakhir Adam yang disambut bersama anak saudaranya pada tahun lalu.
Walaupun menjadi anak bongsu daripada lima beradik, namun sebenarnya pemuda yang pernah menyandang jawatan perancang strategik di syarikat cari gali gergasi negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) itu yang menguruskan keperluan setiap ahli keluarga.
Daripada sebesar-besar perkara kepada sekecil-kecil benda, personaliti media sosial yang memiliki lebih 458,000 pengikut di Instagram itu akan memastikan segalanya dalam keadaan teratur.
Kata Nor Ashila, kemeriahan lebaran yang disambut tahun lalu membuatkan mereka terlupa untuk merakam gambar bersama.
"Semua orang sibuk ketika itu, sampai terlupa nak ambil gambar.
"Tapi, entah kenapa kami banyak rakam video. Tak sangka video itu akan menjadi kenangan terakhir raya kami dengan Adam," luahnya sambil menahan rasa sebak.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, bukan menjadi tradisi keluarga mereka untuk membeli pakaian baharu semata-mata untuk digayakan pada pagi Aidilfitri.
Ali mengenakan jubah Allahyarham Adam ketika beliau masih kecil pada lebaran ini.
Beliau berkata, mereka sekeluarga tidak memikirkan tentang sambutan raya pada tahun ini kerana masih berduka di atas pemergian Adam.
Cuma, Ali tidak sabar untuk mengenakan jubah yang pernah dipakai oleh Adam ketika berusia tiga tahun.
"Tahun lalu, ibu saya ada bawakan jubah Adam yang dibeli di Makkah untuk diberi kepada Ali.
"Tetapi ketika itu Ali masih belum muat untuk memakainya. Bila tunjuk jubah Mamajee, dia tak sabar sangat nak pakai," ujarnya.
Pada pagi Syawal ini, Nor Ashila terbayang-bayang bagaimana adiknya menyiapkan semua orang termasuk menyediakan pakaian setiap ahli keluarga.
"Dia seorang yang teliti dan sangat organise. Tiada siapa yang boleh gantikan Adam," kongsinya.