suria

Hentak cermin kereta dengan parang, suspek utama ditahan

Suspek utama ditahan pada Selasa.

SEORANG lelaki yang ditahan pada Selasa berhubung kes menghentak cermin hadapan kereta seorang pengguna jalan dengan parang di Lebuhraya Pasir Gudang, Isnin lalu, merupakan seorang anggota kumpulan penjenayah yang sedang diburu polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Simpang Renggam pada sekitar pukul 5.30 petang.

Beliau berkata suspek ditangkap bersama tiga lagi anggota kumpulan berusia 26 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes samun manakala seorang suspek yang mengugut pengguna jalan itu pada hari kejadian sedang diburu.

“Tertangkapnya semua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun di sekitar daerah Johor Bahru Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek telah direman selama lima hari bermula Rabu sehingga 9 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 kanun sama kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, klip video tindakan dua lelaki mengugut dan menghentak cermin kereta seorang pengguna jalan mula tular di media sosial sejak hari kejadian itu.

Insiden itu dipercayai berlaku susulan rasa tidak berpuas hati kerana suspek tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak. - BERNAMA

Artikel Lain