suria

Mayat bayi ditemukan dalam bag plastik di perhentian bas

Gambar hiasan.

MAYAT seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah beg plastik di perhentian bas Flat Sri Intan, Jalan Bukit Permai, Kuala Lumpur petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusof berkata mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui seorang remaja perempuan kira-kira pukul 6.40 petang sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Hasil temu bual, remaja berusia 14 tahun itu memaklumkan menemui sebuah bungkusan plastik dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di perhentian bas sebelum terlihat satu objek disyaki tangan bayi terkeluar daripada beg plastik itu.

“Pegawai perubatan Hospital Ampang yang tiba di tempat kejadian mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azmi berkata, pemeriksaan forensik oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bayi terbabit tidak ada tali pusat dan dimasukkan ke dalam plastik putih serta hitam sebelum ditinggalkan di tempat kejadian

Mayat bayi itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain