suria

“Saya serah kepada PM untuk putuskan” - Marzuki

Marzuki Yahya.

TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, yang mana status akademiknya dipertikaikan memberitahu beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan nasibnya.

"Saya akan serahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan saya sebagai timbalan menteri luar dan setiausaha agung Bersatu," katanya dalam kenyataan pertama sejak isu mengenai status kelulusan akademiknya.

Dr Mahathir merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Marzuki baru-baru ini berkata, ijazah yang diperolehinya adalah daripada Universiti Antarabangsa Cambridge di Amerika Syarikat (AS), dan bukannya Universiti Cambridge.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan University of Cambridge, tapi Marzuki dapat ijazah dari universiti tanpa akreditasi AS

Bagaimanapun, semakan media mendedahkan bahawa universiti AS tidak mempunyai hubungan dengan universiti berprestij di United Kingdom (UK).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Marzuki berkata, beliau tidak pernah memasukkan sebarang maklumat berkaitan pendidikannya di laman web Wikipedia, malah tidak mengarahkan sesiapa untuk melakukannya. 

"Ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari Universiti Antarabangsa Cambridge (CIU) di Amerika Syarikat dan bukannya Universiti Cambridge," katanya. 

Marzuki berkata, beliau tidak pernah berniat untuk menggambarkan seolah-olah mendapat pendidikan di Universiti Cambridge. 

Menurutnya, beliau memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU pada 2002, iaitu 17 tahun lalu.

"Ketika itu masih belum ada sistem ranking universiti yang terkenal dan tersusun seperti pada hari ini. Pada masa itu juga masih belum ada senarai universiti yang dikatakan sebagai “bogus university”.

"Semasa mengikuti pengajian, saya menyiapkan tugasan-tugasan seperti yang diminta oleh universiti," katanya.

Marzuki menyertakan transkrip dari CIU sebagai rujukan bagi ijazahnya.

"Tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan," katanya.

CIU menyatakan di laman webnya bahawa ia tidak diakreditasi. Memandangkan pengakuan Marzuki bahawa beliau mendapat ijazah dari AS dan bukannya institusi UK, CIU mendapat perhatian serius dan mendapat tekanan bahawa ia adalah 'kilang diploma' yang pemberian gelaran.

Ia mendakwa menawarkan 150 program, tetapi hanya mempunyai 12 ahli fakulti dan 13 ahli fakulti tambahan yang disenaraikan di laman webnya, yang kini tidak dapat diakses.

Tambahan pula, gambar-gambar anggota fakuliti kelihatan seperti imej stok, manakala satunya mempunyai tera air dengan laman web dating dalam talian.  

Cubaan The Star untuk menghantar emel kepada beberapa ahli fakulti dan ahli fakulti tambahan bagi mendapatkan penjelasan gagal apabila subsistem penghantaran mel menyatakan bahawa alamat emel tersebut tidak dapat ditemui atau server tidak dapat menerima emel.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, Marzuki berkata, beliau mengikuti kursus di CIU semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan mengenai logistik kerana beliau adalah ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat logistik di Pulau Pinang ketika itu.- The Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Harga petrol naik 4 sen

Artikel Lain