suria

Sembilan cedera bas rempuh lori

Sumber foto: Facebook

KUANTAN: Sembilan termasuk dua kanak-kanak cedera apabila bas yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Lipis-Padang Tengku, Lipis, Ahad malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Nor Hisham Mohammad  berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.36 malam sebelum sembilan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas milik University Of Malaya-Wales yang menghala ke Kuala Lipis telah melanggar bahagian belakang sebuah lori pada arah yang sama.

“Seorang mangsa lelaki telah tercucuk besi di bahagian bahu sebelah kirinya, sebelum besi itu akhirnya berjaya dipotong dan mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Turut tercedera ialah enam wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dan mereka juga telah dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Nor Hisham berkata, 40 orang penumpang bas tersebut serta pemandu treler selamat tanpa sebarang kecederaan.

Bagaimanapun butiran mengenai mangsa dan maklumat lain berkaitan kemalangan tersebut masih gagal diperolehi.- Bernama

Kemalangan, kuala lipis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain