suria

Anwar angkat sumpah, kembali ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Isnin.

Anwar yang masih segar dengan kemenangan besar beliau di PRK Port Dickson, Sabtu lalu mengenakan baju Melayu berwarna hitam.

Kembalinya Anwar ke Parlimen merupakan laluan untuk membolehkan beliau dipilih sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.Kali terakhir Anwar bertanding dalam pilihan raya umum ialah pada 2013 di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun, kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015.

Selepas PH memerintah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diberikan pembebasan serta-merta pada 16 Mei lalu selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai calon PH di PRK Port Dickson selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan.

Anwar menang besar dalam PRK tersebut dengan majoriti 23, 560 undi.I

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar juga merupakan Ahli Parlimen.

Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Pandan, manakala Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh. -Sinar Harian

Anwar Ibrahim, Angkat Sumpah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain