suria

Shahrizat tak pertahan Ketua Wanita Umno

Shahrizat Abdul Jalil.

PETALING JAYA: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang akan diadakan pada 30 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana memandang serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno. 

"Masanya sudah tiba untuk Wanita Umno diketuai oleh seorang ketua Wanita baharu yang mampu membawa cara dan idea baharu yang mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita Umno tetapi juga mendapat sokongan rakyat. 

"Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga. Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita Umno, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutama untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta semua ahli dari sayap Umno itu terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan sebagai tulang belakang dalam parti. 

Beliau menambah, seorang pemimpin sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktikkan kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan. 

"Sebagai 'Ibu Terbaik Bangsa', walau di mana jua kita berada, Wanita Umno mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat berbilang kaum," ujar Shahrizat.

Shahrizat menjadi Ketua Wanita Umno pada 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

Artikel Lain