suria

Keluarga tawar AS$50,000 untuk maklumat kematian model

Ivana Esther Robert Smit.

PETALING JAYA: Keluarga Ivana Esther Robert Smit menawarkan ganjaran bernilai AS$50,000 (RM198,725) kepada mana-mana individu yang dapat memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian model warga Belanda itu.

Portal berita Belanda, NL Times melaporkan bahawa Sebas Diekstra, peguam yang mewakili keluarganya berkata, keluarga model itu mendapati terdapat sedikit perkembangan kes, yang mendorong mereka untuk mengambil keputusan berkenaan.

"Keluarga itu berharap jumlah (ganjaran) itu cukup besar untuk meyakinkan orang ramai dengan maklumat yang berguna, yang selama ini diam untuk tampil," kata peguam itu pada Isnin.

Disember lalu, mangsa berusia 19 tahun itu maut selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Mayat Ivana ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut.

Dipercayai Ivana berada di kondominium tersebut bersama ahli perniagaan warga Amerika, Alex Johnson, 44, dan isterinya warga Kazakhstan, Luna, 31, selepas melakukan hubungan seks bersama.

Polis Malaysia mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan ujian patologi.

Seorang pegawai penyiasat persendirian yang diupah Smit berkata, kes tersebut seharusnya diklasifikasikan sebagai bunuh.

Ivana Esther Robert Smit

Artikel Lain