suria

“Biar Pemuda untuk yang betul-betul muda” – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad ‘menantikan’ calon yang benar-benar sesuai bagi membarisi kepimpinan Pemuda Umno pada pemilihan parti itu akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berharap agar calon-calon untuk jawatan dalam sayap parti Umno diisi oleh mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah (B4).

“Menunggu calon Pemuda Umno B40. Yang lain-lain ni fokus tanding Naib Presiden/MT (Majlis Tertinggi). 

“Biarkan Pemuda untuk yang betul-betul muda,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya pada Isnin.

Selain itu, Nik Nazmi turut berkongsi artikel mengenai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun, Jamal yang dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu, berusia 48 tahun.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, 42, turut menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mahu merebut jawatan nombor satu Pemuda Umno, namun bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kini berusia 42 tahun.

Bagi calon yang berusia di bawah 40 tahun, antara yang dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemuda Umno adalah Ketua Penerangan pergerakan itu, Shahril Hamdan, 32, tetapi bagi jawatan Naib Ketua Pemuda.

Mengikut rekod, Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berusia 38 tahun ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.

Khairy Jamaluddin kemudian mengambil tempat itu ketika beliau berusia 33 tahun, dan kini berhasrat untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti.

Nik Nazmi Nik Ahmad, Pemuda Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain