suria

Program vendor Miti beri manfaat besar kepada IKS

PROGRAM Pembangunan Vendor (VDP) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini memasuki fasa baharu dengan beberapa kisah kejayaan di bawah kelolaannya.

Program itu merupakan salah satu inisiatif utama yang diperkenalkan pada tahun 2014 di bawah menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk melatih peniaga bumiputera.

Antara sasaran utama adalah memacu perusahaan kecil dan sederhana (IKS) sebagai pembuat dan pembekal produk serta perkhidmatan yang diperlukan oleh syarikat besar, syarikat multinasional dan syarikat milik kerajaan yang mana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bertindak sebagai setiausaha dalam pasaran domestik dan global.

Kejayaan di sebalik VDP turut disumbangkan oleh kolaborasi strategik dengan syarikat anchor, vendor dan penyelia latihan seperti MPC, Technology Park Malaysia, Centre for Entrepreneurship Development and Research Sdn Bhd (Cedar), Mitrans, Sirim, SME Corp, MIDF dan MAI.

Dalam jangka masa singkat setelah pelancarannya, bilangan syarikat anchor dan vendor telah meningkat secara stabil.

Power meeting: Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) dan timbalannya Datuk Ahmad Maslan (dua dari kanan) bersama sebahagian vendor di MPPPV.

Pada 2016, terdapat 19 syarikat anchor dan 1,440 vendor, mencatat rekod dalam peratusan nilai perolehan VDP kepada jumlah perolehan utama pada 11.5 peratus.

Sehingga September tahun lalu, bilangan syarikat anchor telah meningkat kepada 21 dengan 1,418 vendor sekali gus melonjakkan nilai peratusan kepada 12.7 peratus.

Malah, Program Pembangunan Kapasiti untuk Vendor (PPKV) pada dua tahun lalu telah mencatatkan nilai RM3.14 juta dengan 318 penerima.

Sejumlah RM9 juta diperuntukkan untuk Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan (GPPV), yang akan memberi manfaat kepada 15 vendor.

Secara ringkasnya, GPPV dan PPKV di bawah VDP adalah sebahagian daripada langkah yang disenaraikan di bawah Strategi Keempat Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) untuk memberi sokongan kepada peniaga kecil sederhana Malaysia.

Ia merupakan aspirasi kerajaan untuk syarikat-syarikat tempatan yang lebih besar, GLC dan MNC untuk menyertai program pembangunan bagi memacu peniaga kecil sederhana supaya jumlah mereka dapat ditingkatkan.

Kisah kejayaan VDP

Pada tahun 2016, terdapat tujuh juara di peringkat kebangsaan yang mana kisah kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada pengusaha lain.

Syarikat-syarikat ini adalah Swis Resources Sdn Bhd, Daya OCI Sdn Bhd, FM Media Sdn Bhd, Muzamal Industries Sdn Bhd, Foresight Industries Sdn Bhd, Artisan Hartamas Sdn Bhd dan Indkom Engineering Sdn Bhd.

Tujuh syarikat ini dibantu oleh syarikat anchor masing-masing iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, CIMB, Pharmaniaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Juara serantau pula dimenangi oleh Ideal Healthcare Sdn Bhd.

Penjual di bawah Pharmaniaga iaitu Ideal Healthcare misalnya telah menyertai VDP pada tahun 2014, membolehkan produk perubatannnya dieksport ke negara-negara Asean.

Peniaga bawah kelolaaan TNB iaitu Hyrax Oil Sdn Bhd pula mencatat kejayaan manis apabila diisytiharkan sebagai juara dunia.

Hyrax menyertai VDP TNB pada tahun 1997, menghasilkan produk seperti , minyak kabel dan pelincir yang  dieksport ke New Zealand, negara-negara Asean dan Timur Tengah.

GLC Explorace


Meneroka peluang: Padanan perniagaan sewaktu GLC Explorace 2017

Salah satu usaha penting di bawah VDP ialah acara GLC Explorace.

Acara yang diadakan pada Ogos 2017 dengan tema 'Kecemerlangan dalam Dunia Digital' itu menyaksikan kehadiran 2,152 pelawat, peserta dan peserta pameran.

Ia dianjurkan bersama dan ditaja oleh Miti, UEM Group Berhad, Sime Darby Berhad dan MIDF.

Ia melibatkan 58 bilik pameran dan 14 syarikat anchor yang menjalankan perniagaan, rundingan kewangan dan ceramah.

Malah, ia turut menyaksikan 331 sesi padanan perniagaan dijalankan sepanjang penganjurannya.

Objektif utama pastinya untuk mempamerkan pencapaian utama dan pencapaian vendor dalam VDP, menyediakan platform untuk vendor baharu meneroka peluang perniagaan dengan GLC dan MNC, menarik anchor yang berpotensi untuk menyertai VDP.

Sasaran Petunjuk Prestasi Utama untuk VDP untuk tahun ini berhasrat untuk mencari 40 vendor baharu serta mencari tiga juara kebangsaan dan satu juara serantau.

Miti akan meningkatkan dasar dan pelaksanaan VDP, ini termasuk penjenamaan semula acara GLC Explorace 2018.

Pada April tahun lalu, Miti menetapkan sasaran untuk meningkatkan sebanyak 10 peratus dalam nilai perolehan di bawah VDP daripada RM4.88 bilion pada Disember 2016.

"Setakat ini, kami mempunyai 21 syarikat peneraju dan kami berharap ia dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya lima lagi syarikat sama ada syarikat berkaitan kerajaan atau swasta," katanya semasa mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV).

Dalam merancakkan pertumbuhannya, syarikat-syarikat utama akan diberikan potongan cukai berganda sehingga tahun 2020 sekali gus membantu membangunkan keupayaan syarikat peniaga-peniaga bumiputera.

Daripada 21 syarikat anchor, 14 adalah syarikat berprestasi tinggi atau GLC PCG20, enam syarikat besar tempatan dan syarikat multinasional.

Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI)


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Ong Ka Chuan bersama barisan pemenang AKI 2016.

Sementara itu, Miti juga aktif mempromosikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang telah diperkenalkan sejak 1991.

Sehingga kini, AKI sememangnya diiktiraf sebagi anugerah berprestij yang memberi penghargaan dan pengikitirafan kepada syarikat korporat utama negara.

Diadakan menerusi dua peringkat, antara objektif AKI ialah mengenalpasti syarikat-syarikat yang paling cemerlang dalam industri perkilangan dan perkhidmatan, syarikat dengan rancangan perniagaan untuk meningkatkan produk atau perkhidmatan nilai tambah dan juga syarikat yang mempunyai amalan terbaik yang menjadi inspirasi kepada syarikat lain.

Sejak penubuhannya, 3,237 syarikat telah menyertai AKI dengan 408 pemenang setakat ini. Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Standard Antarabangsa (BEF) digunakan untuk menilai pemenang anugerah sejak penjenamaan semula AKI pada tahun 2014.

BEF adalah pelan komprehensif yang diiktiraf secara global untuk memastikan produktiviti, kualiti dan kemampanan mana-mana organisasi.

Sehingga akhir tahun tahun lalu, 5,326 syarikat di Malaysia telah menerima pakai BEF.

Untuk AKI 2018, sejumlah 11 anugerah akan dipertandingkan iaitu Anugerah Perdana Menteri, empat anugerah di bawah sektor perkilangan, lima anugerah di bawah sektor perkhidmatan dan satu dari kategori terbuka (syarikat multinasional).

Anugerah Perdana Menteri akan dipilih dari kalangan pemenang utama dalam kategori masing-masing.

Sewaktu AKI 2016, Hospital Pakar KPJ Klang diisytiharkan sebagai pemenang utama Anugerah Perdana Menteri, membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, trofi dan sijil.

Hospital Pakar KPJ Klang mengalahkan syarikat lain seperti Finisar Malaysia Sdn Bhd, yang tercalon dalam kategori terbuka.

Antara pemenang lain ialah Johor Port Berhad; Upstream Downstream Process and Services Sdn Bhd dan Medical Apparatus Supplies Sdn Bhd (sektor perkhidmatan) dan Salutica Allied Solutions Sdn Bhd, Exis Tech Sdn Bhd dan Paradigm Precisions Components Sdn Bhd (sektor perkilangan).

Sehingga kini, AKI kekal menjadi anugerah dalam kalangan pemain industri untuk bersaing kerana ia merupakan pengiktirafan untuk pembangunan berterusan, kepimpinan yang luar biasa dan pertumbuhan yang signifikan melalui visi dan misi.

Maklumat lanjut mengenai AKI boleh didapati di laman web MITI di http://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3894

Miti, IKS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain