JPJ Tidak Kompromi Isu Gangguan Seksual Semasa Ujian Memandu - Semasa | mStar

JPJ Tidak Kompromi Isu Gangguan Seksual Semasa Ujian Memandu

(Gambar kiri) Pegawai JPJ yang didakwa melakukan gangguan terhadap mangsa, sedang memeriksa peserta lain. (Gambar kanan) Pegawai JPJ berkenaan sehari selepas kejadian.

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyiasat dakwaan seorang pegawainya melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun semasa menjalani ujian memandu.

Bercakap kepada mStar Online, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pihaknya perlu membuat penelitian terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap pegawai berkenaan.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan serta-merta tanpa siasatan. Siasat dulu betul atau tidak, pastikan ia benar-benar sahih.

“Kalau betul melibatkan pegawai kita... kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan berkompromi berhubung salah laku ini,” katanya pada Jumaat.

Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman. Foto MUSTAFA AHMAD/The Star

mStar Online sebelum ini melaporkan seorang gadis yang merupakan anak saudara kepada seorang ahli politik mendakwa dirinya diganggu secara seksual dalam kejadian di sebuah institut memandu di Shah Alam pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pegawai JPJ Tanya 'Bawah' Ada Tindik Tak?” - Remaja 17 Tahun

Wan Ahmad Uzir turut meminta mangsa membuat laporan kepada JPJ berhubung dakwaan salah laku tersebut.

“Kita juga akan mendapat keterangan mangsa. Dia kena maklumkan tarikh, hari apa, pukul berapa dan lokasi serta butiran berkaitan berhubung kejadian.

“Kalau benar pegawai yang didakwa bertugas ketika itu, kita akan mengambil tindakan tatatertib yang bersesuaian,” katanya.

Insta Story mengenai seorang remaja mendakwa diganggu seorang pegawai JPJ semasa ujian memandu.

Mangsa yang juga anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ mendakwa selain ditanya sama ada dia sudah mempunyai teman lelaki dan meminta nombor telefonnya, pegawai tersebut turut bertanyakan soalan tidak senonoh selepas melihat dia menindik hidung.

“Dia tanya 'saya tindik kat bawah tu (alat sulit) sekali ke? Saya cakap ‘pakcik’ tolong berhenti, saya rasa tak selesa’.

“Lepas tu dia tanya ada gambar-gambar seksi tak (untuk) hantar kat dia. Tapi saya kata tak ada dan cuba untuk bertenang sebab tak mahu dia gagalkan (ujian) saya,” katanya.

Pegawai yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan turut didakwa menunjukkan video seks daripada telefon bimbitnya sambil mengeluarkan kata-kata berunsurkan lucah.

“Saya rasa nak menangis dan menggeletar. Tapi saya terpaksa bertahan tunggu selepas saya selesai ujian sehingga dia meluluskan saya,” katanya.

Mangsa turut mendakwa pegawai JPJ menunjukkan video seks.

Mengenai tindakannya berkongsi pengalaman tragisnya itu di Insta Story, mangsa menjelaskan ia bertujuan untuk memberi peringatan kepada orang ramai terutama remaja perempuan dan wanita supaya lebih berhati-hati.

Dalam pada itu, mangsa turut memberi penjelasan bahawa pegawai tersebut tidak dibuang kerja serta-merta setakat ini, berlainan dengan apa yang dinyatakannya di Insta Story sebelum ini sehingga tular.

“Ikutkan tindakan pegawai itu boleh saja membuatkan dia dibuang kerja, tapi selepas berbincang dengan bapa, ia ‘diselesaikan’ kerana pegawai itu masih mempunyai isteri dan anak-anak di bawah tanggungannya.

“Bagaimanapun, saya bersedia untuk memberi keterangan mengenai kejadian kepada JPJ sekiranya perlu,” ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

JPJ , video seks

Artikel Sebelum

Leher Digigit, Tekan Tubi 500 Kali

Artikel Berikut

'Powerbank' Bukan Punca Kebakaran

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin