suria

Rakyat Malaysia Mudah Nikmati Menu Halal Korea Misi Chef Faizul

KUALA LUMPUR: Penyelidikan selama 52 hari apabila berkunjung ke Korea Selatan bermatlamat bagi membolehkan rakyat Malaysia lebih mudah menikmati hidangan asli negara itu.

Misi yang bermula pada 26 Februari ini akan diketuai Chef Eksekutif Mamee, Chef Faizul Hazly untuk lebih memahami budaya, citarasa dan makanan negara itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shinsegae Mamee Sdn Bhd, Vuitton Pang, pihaknya yakin misi itu akan memudahkan lagi masyarakat Malaysia menikmati hidangan asli Korea.

"Bukan sahaja untuk rakyat negara ini, malah misi ini juga akan memudahkan pelancong Islam yang berkujung ke Korea Selatan untuk mencari hidangan asli yang halal," katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Misi penyelidikan itu dilancarkan selepas pengumuman usahasama antara Shinsegae Food Inc dan Mamee-Double Decker Sdn Bhd.

Menurut Pang lagi, pasaran makanan halal global dijangka mencecah AS$2.55 trilion menjelang  2024.

Sehubungan itu, misi berkenaan juga diatur bagi membangunkan formula makanan Korea asli yang baharu untuk menembusi pasaran halal di rantau Asia Pasifik dan global pada masa akan datang.

Sementara itu, Chef Faizul bersama seorang lagi chef dari Shinsegae Food, Chef Choi Jeongyong akan mengetuai persiapan makanan halal sempena penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang bermula sembilan Februari ini.

Menurut Chef Faizul, dia bangga apabila menjadi rakyat Malaysia pertama  memasak untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018.

"Tentunya saya rasa bangga. Ini juga merupakan satu peluang untuk saya memahami citarasa makanan orang sana.

"Dengan populariti makanan Korea di negara kita berserta peningkatan populariti negara itu sebagai destinasi pelancongan umat Islam, saya harap dapat memperjuangkan industri pengilangan makanan Halal Korea apabila kembali ke Malaysia Mac ini," ujar Chef Faizul.

Antara hidangan halal yang bakal disediakan oleh Chef Faizul dan Chef Jeongyeong untuk Olimpik Musim Sejuk 2018 ialah sup lentil, kambing panggang, salmon panggang dan beriyani kukus.



Chef Faizul, Korea, Olimpik

Artikel Berikut

Artikel Lain