suria

Pengasas Pusat Kebajikan Didakwa Cabul, Rogol Dua Kanak-Kanak

Zahari mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan pada Jumaat terhadap pertuduhan merogol, mencabul, mengaibkan kehormatan, dan memiliki bahan lucah pada 2016 dan Ogos 2017. - Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan di mahkamah di Ampang di sini terhadap sembilan pertuduhan antaranya merogol dan mencabul kanak-kanak di sebuah pusat kebajikan serta memiliki objek lucah.

Tertuduh, Zahari Alwi, 56, yang merupakan pengasas pusat itu mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan atas dua pertuduhan merogol; tiga pertuduhan mencabul; satu pertuduhan mengaibkan kehormatan dan tiga pertuduhan memiliki bahan lucah termasuk zakar palsu.

Kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Kamil Nizam, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A.Raof.

Di hadapan Hakim Mohamad Kamil, lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna oren dan menutup mukanya dengan topeng muka didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di dalam bilik tidur di dua buah pusat kebajikan di Keramat di sini antara 2016 dan Ogos 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Mohamad Firdaus, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dan seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan maksud mencabul kehormatan mereka di ruang tamu di dua premis sama, antara Disember 2015 dan 2016.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan memiliki filem lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam di dalam bilik di premis sama, pada 7 malam, 10 Jan 2018 mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Haslinda pula, tertuduh didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa yang berusia 11 tahun dengan cara membuka pintu bilik air di pusat kebajikan sama pada 1 tengah hari, Disember 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zahari dituduh atas dua pertuduhan iaitu membuat dan memiliki gambar lucah pegun mangsa sama di dalam komputer riba dan memiliki objek lucah berupa zakar lelaki, masing-masing pada 1 tengah hari, Disember 2015 dan 7 malam 10 Jan lepas di dua buah premis sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie, Norhashimah Hashim dan Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara di bawah akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Peguam Illynadiah Mohd Yusof yang mewakili tertuduh tidak mengemukakan sebarang bantahan dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula semua kes.

Pada 29 Jan lepas, isteri tertuduh Khairulbariah Mian, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan tertuduh berhubung dakwaan mencabul dua kanak-kanak perempuan di dua buah premis sama, tiga tahun lalu. - Bernama

rogol, pusat kebajikan

Artikel Lain