suria

Logo Visit Malaysia: “Saya Memang Nak Lawan”

Logo 'alternatif' bagi 'Visit Malaysia 2020' cetusan ilham Rafil.

PETALING JAYA: Satu demi satu rekaan logo ‘Visit Malaysia 2020’ (Tahun Melawat Malaysia 2020) ilham anak tempatan muncul, susulan kontroversi logo yang diperkenalkan baru-baru ini sehingga menjadi perdebatan netizen.

‘Pesta’ logo yang masih hangat itu membuatkan seorang pereka grafik dan jurugambar fesyen yang sebelum ini gempar dengan rekaan alternatif gaun ‘nasi lemak daun pisang’ turut tampil dengan rekaannya.

Logo cetusan Rafil Thazali, 35, yang dimuat naik di Facebooknya menggambarkan bentuk daun, orang utan dan penyu menggunakan warna hijau dan perak.

Bercakap kepada mStar Online, Rafil berkata, dia melakukannya sekadar suka-suka dan mahu berkongsi versinya sendiri, gabungan rekaan grafik dan teknik manipulasi.

“Dah makin ramai buat, termasuk sekurang-kurangnya 10 kenalan saya dalam kalangan pereka grafik yang turut mempamerkan idea dan kreativiti masing-masing.

“Saya memang nak ‘lawan’ dan tunjuk persaingan secara sihat dengan dunia sekarang yang begitu kompetitif,” katanya sambil menambah walaupun warna yang dipilih tidak 'semeriah' rekaan-rekaan lain tetapi dia mempunyai alasan tersendiri.

Penjelasan Rafil mengenai rekaan logonya termasuk ilham penggunaannya pada cenderamata.

Walaupun mahu ‘berlawan’, Rafil menegaskan bahawa rekaannya itu bukan tanda protes kepada logo sedia ada tetapi lebih cenderung kepada berkongsi pandangannya. 

Sehubungan itu katanya, dia menjadikan logo asal sebagai garis panduan untuk mengetengahkan idea baharu dengan justifikasinya.

“Lawan, lawan juga... tapi saya masih respek idea asal walaupun ia dikritik ramai. Saya jadikannya sebagai panduan dan saya gambarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai pelanggan.

“Pelanggan keluarkan wang dan menaruh kepercayaan kepada ilmu seni kita dan kita mengikut kehendak mereka dan buat rekaan berdasarkan apa yang perlu,” katanya.

Rekaan logo Rafil yang memaparkan orang utan dan penyu, merupakan elemen tarikan darat dan air di Malaysia yang dapat ditawarkan kepada pelancong asing.

Penggunaan warna perak mencerminkan moden dan futuristik, manakala hijau melambangkan sebuah negara yang tropika, aman dan kaya dengan budaya.  

Kedudukan penyu menunjukkan negara melangkah ke hadapan dan tujuh helaian daun yang dipisahkan, mewakili 14 negeri yang membangun.

(Kiri) Gaun 'nasi lemak' rekaan pereka fesyen tempatan, Brian Khoo dan (kanan) gaun rekaan menggunakan teknik manipulasi foto cetusan idea Rafil.

Ditanya mengapa tiada Menara Berkembar KLCC seperti di dalam logo asal, Rafil menjelaskan bahawa ikonik negara itu sudah dikenali satu dunia.

“Dah banyak dipaparkan mengenai KLCC, ia dah cukup terkenal. Tak ada siapa yang tak kenal KLCC,” katanya yang menghasilkan logo tersebut dalam masa dua jam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan Nak Lawan...”

Sebelum ini, rekaan Rafil tular semasa kontroversi gaun ‘nasi lemak daun pisang’ rekaan Brian Khoo yang ketika itu bakal dipakai wakil Malaysia, Samantha Katie James pada pertandingan Miss Universe 2017.

Biarpun netizen menimbulkan reaksi kurang senang terhadap rekaan logo 'Visit Malaysia 2020' yang baru diperkenalkan, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dilaporkan tetap mempertahankan rekaan tersebut.

"Saya lebih percayakan kakitangan sendiri daripada netizen. Lagipun, ia bukan ditujukan buat orang tempatan, sebaliknya untuk pelancong," katanya.

Visit Malaysia 2020, logo, nasi lemak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain