SEORANG bakal pengantin berdepan tindakan undang-undang selepas didapati membuat laporan palsu berhubung kejadian rompak yang kononnya berlaku di rumahnya.Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa rumahnya dipecah masuk sehingga menyebabkan wang tunai berjumlah Rp181 juta atau kira-kira RM54,000 lesap. Kejadian berlaku di Bandar Prabumulih, Sumatera Selatan di Indonesia.Dalam laporannya, dia mendakwa suspek memasuki rumah melalui tingkap bilik tidur sebelum melarikan dua beg berisi wang.Susulan laporan tersebut, pasukan polis bersama Unit Siasatan Jenayah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, namun menemui beberapa percanggahan antara keadaan sebenar dengan keterangan diberikan pengadu.Ketua Polis Prabumulih Barat, Inspektor Pertama Tomas Siswo Purnomo berkata, siasatan lanjut menimbulkan keraguan sebelum wanita itu dipanggil untuk soal siasat lanjut. Susulan itu, wanita terbabit akhirnya mengaku laporan itu hanya rekaan bagi menutup segala perbelanjaan digunakan untuk persiapan perkahwinannya.Berdasarkan pengakuan suspek, wang tersebut digunakan untuk membeli hantaran perkahwinan selain membayar upah sesi fotografi pra-perkahwinan serta hal lain berkaitan majlis itu nanti.Dalam pada itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dibeli menggunakan wang tersebut termasuk dua guni beras seberat 40 kilogram, dua karton mi segera serta beberapa kelengkapan perkahwinan.Suspek kini ditahan di balai polis sementara menanti kes disebut di mahkamah. -Agensi