SEORANG wanita mengalami kecederaan serius pada wajah akibat menjadi mangsa serangan kejam suami sendiri selepas mereka bertengkar.Menurut polis, suspek didakwa menggigit hidung dan pipi isterinya sehingga menyebabkan sebahagian daging pada hidung mangsa terkoyak, serta meninggalkan luka dalam di bahagian pipi. Mangsa yang dikenali sebagai Pana dari di Hamirpur, Uttar Pradesh, India, segera dikejarkan ke hospital berhampiran dan menerima 10 jahitan pada wajah.Dia kemudian dirujuk ke kolej perubatan di Jhansi untuk rawatan lanjut.Difahamkan, mangsa mungkin memerlukan pembedahan plastik bagi memulihkan struktur wajahnya.Abang mangsa memaklumkan pasangan itu telah lama berkahwin namun sering bertengkar.Polis telah membuka kertas siasatan terhadap suami mangsa yang kini dilaporkan melarikan diri dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan wujud sejarah keganasan rumah tangga sebelum ini, manakala mangsa kini masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan rapi doktor. -Agensi