suria

“Banyak kali bagi muka, Fazura didakwa tak beri hak lawatan anak ikut perjanjian mahkamah” - Peguam Fattah Amin sahkan bakal fail semula permohonan

Fattah bakal failkan semula permohonan kebenaran mohon komital terhadap Fazura.

PELAKON Fattah Amin bakal memfailkan semula permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isteri, Nur Fazura selepas Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu menolak permohonannya berhubung hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.

Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili Fattah Amin iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan, kegagalan tersebut disebabkan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim meminta pihak Fattah untuk memperincikan beberapa perkara sebelum memfailkan semula permohonan kebenaran secara ex parte terhadap Fazura berkaitan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah mengenai hak lawatan Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.

"Saya dimaklumkan Fazura telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, antaranya tidak menunaikan janji untuk memberikan hak lawatan Nur Fatima kepada bapanya dengan alasan berada di London.

Akberdin (peguam Fattah) dakwa Fazura langkah perintah sebanyak enam kali. 

"Malah Fattah mendakwa sejak bercerai dia mengalami kesulitan untuk bertemu puteri tunggalnya, namun masih bersabar dengan sikap bekas isterinya itu yang kerap memberi alasan hingga anak guamnya sukar bertemu dengan anak kandungnya. 

"Selepas banyak kali bagi muka, Fattah terpaksa melantik saya untuk memfailkan permohonan ini supaya perjanjian yang telah dipersetujui di mahkamah sebelum ini dipatuhi dan dihormati. 

"Penolakan yang dibuat mahkamah pada 31 Mac lalu bukan muktamad, tetapi masa prosiding dijalankan hakim beritahu ada beberapa perkara yang tidak jelas dan minta diperincikan serta difailkan semula,"katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Akberdin, biarpun hak penjagaan penuh Nur Fatima diberikan kepada Fazura, namun Fattah masih diberi hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati nasib bekas isteri, Fattah Amin tak tahu Fazura hutang RM4.65 juta

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fattah Amin enggan beri muka lagi… Pemfitnah dakwa curang ketika bersama Fazura bakal diseret ke mahkamah

Bagaimanapun hak tersebut dihalang dengan pelbagai alasan setiap kali Fattah mahu menjalankan tanggungjawab serta memberikan kasih sayang sebaiknya kepada Nur Fatima menyebabkan aktor itu terpaksa menggunakan jalan undang-undang untuk menuntut hak yang sepatutnya.

"Pihak kami akan fail semula dalam masa terdekat kerana Fattah sudah cukup bertolak-ansur selama ini.

"Kali ini dia mahu mahkamah menentukan apa yang terbaik untuk menuntut haknya sebagai bapa kepada Nur Fatima.

"Hak lawatan yang sepatutnya diberikan kepada Fattah perlu dipatuhi oleh bekas isterinya. Jika tidak, pihak kami boleh memfailkannya di mahkamah,"katanya.

Pihak kami akan fail semula dalam masa terdekat.

DATUK AKBERDIN ABDUL KADER

PEGUAM SYARIE

Sebelum ini, Fattah gagal memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Nur Fazura di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 31 Mac lalu berhubung isu hak lawatan anak mereka, Nur Fatima.

Peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin telah mengemukakan permohonan secara ex parte terhadap Fazura atas dakwaan melanggar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan anak.

Fattah failkan kes berkaitan hak lawatan anak. 

Prosiding komital itu berpotensi menyebabkan Fazura dikenakan tindakan penjara sekiranya didapati melanggar perintah mahkamah tersebut.

Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti berkenaan sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober 2024.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain