suria

Lama tak jumpa anak, Aliff Aziz lepas rindu tengok media sosial dan video lama

Aliff (kanan) sudah lama tidak bertemu dengan anak-anaknya.

LAMA tidak bertemu dua orang anaknya, penyanyi Aliff Aziz hanya mampu melepaskan kerinduan dengan menatap koleksi foto serta video yang tersimpan di galeri telefon bimbit.

Selain itu, Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 35, turut memantau perkembangan Ayden Adrean dan Ara Adreanna menerusi media sosial.

"Banyak cara saya lepaskan rindu untuk mereka. Saya sentiasa mendoakan mereka. 

"Saya juga ada simpan gambar dan video mereka masih kecil, jadi tengok daripada situ. Sekarang ini media sosial juga boleh tengok, nampak semua aktiviti mereka. 

Aliff mengikuti perkembangan anak-anak di media sosial.

"Bila tengok mereka itu, saya rasa sangat gembira. Semestinya ada bermacam-macam perasaan, tapi saya memang gembira," katanya kepada mStar. 

Aliff berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Iqiyi di Kuala Lumpur pada Selasa. 

Walaupun dihimpit rasa rindu yang mendalam, Aliff memilih untuk bersikap tenang dan enggan mengulas lanjut mengenai urusan pertemuan dengan anak-anaknya bagi mengelakkan sebarang salah faham.

"Saya sedang menguruskan dengan cara yang terbaik. Insya-Allah. Apa-apa pun, hal anak-anak adalah satu benda yang sensitif.

ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah didakwa tak bagi anak-anak jumpa bekas suami, Didi Astillah tampil bersuara

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Bella Astillah teruja tunggu sambutan Hari Bapa - “Dia cakap akhirnya tahun ini dapat beri kad ucapan”

"Saya tak nak perkara yang kita cuba usahakan ini jadi tak baik hanya sebab saya menjawab atas rasa nafsu," ujarnya.

Ditanya sekiranya dia ingin menitipkan pesanan buat anak-anak, Aliff lebih selesa untuk meluahkan hasrat hatinya itu secara berdepan apabila tiba masanya nanti.

"Itu saya simpan, apabila jumpa insya-Allah saya dapat bercakap sendiri depan Ayden dan Ara.

"Saya faham semua orang ada hak untuk bertanya tapi saya minta semua pihak faham. Alhamdulillah, saya rasa mereka berada di satu persekitaran yang baik.

Ayden (kiri) dan Ara (kanan) dijaga oleh bekas isteri, Bella.

"Saya tak pernah lupa doakan mereka. Sebagai seorang ayah, saya bahagia melihat mereka gembira. Ara pun dah besar, dah pandai menari," ujarnya. 

Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024. 

Mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Hasil perkongsian hidup, Aliff dan Bella dikurniakan dua cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain