suria

Suami Buat Kejutan 'Ganas', Isteri Rasa Macam Nak Nangis

PETALING JAYA: Setiap wanita pasti hatinya rasa 'berbunga-bunga' jika si suami melakukan kejutan pada sambutan ulang tahun kelahiran.

Namun, tidak bagi Siti Noraliza Amran, 26, yang menerima kejutan luar biasa dan agak 'ganas' daripada suaminya.

Ketika sedang memandu, ibu kepada seorang bayi lelaki berusia lima bulan itu dikejutkan dengan hon yang dibunyikan bertalu-talu ke arah keretanya, cukup untuk membuatkan dia rasa ingin menangis.

Dia bertambah bingung selepas kebanyakan kenderaan yang membunyikan hon itu mengangkat tangan sambil melemparkan senyuman kepadanya.

Siti Noraliza yang cemas dengan situasi itu sempat membuka tingkap keretanya dalam keadaan trafik sesak untuk melihat sama ada tayar keretanya pancit atau ada bahagian yang terbakar.

Bagaimanapun, situasi mendebarkan itu bertukar menjadi detik melucukan apabila eksekutif akaun itu menyedari bahawa suaminya menampal dua keping nota di pintu penumpang dan bahagian belakang kereta untuk membuat kejutan pada hari lahirnya.

Nota kejutan hari lahir yang ditampal di pintu penumpang dan bahagian belakang kereta (nama).

"Hari ini adalah hari lahir isteri saya. Tolong bunyikan hon berganda. Terima kasih," tulis si suami pada kertas putih tersebut.

Siti Noraliza kemudiannya memuat naik tentang kejadian itu menerusi Facebook dan menerima lebih 4,400 tanda suka serta 1,116 perkongsian daripada netizen.

"Suami dapat idea daripada bahagian belakang lori yang tertulis 'awas muatan panjang'.

"Sebelum ini, dia buat kejutan dengan membeli kek sahaja. Tiada apa yang 'surprise' sangat pun," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kata Siti Noraliza, suaminya susah untuk menunjukkan sikap romantis, namun dia pasti menangis apabila sesekali suaminya membuat kejutan di luar jangkaan.

Tambahnya, tindakan suaminya itu membuatkan orang ramai membunyikan hon kepadanya pada sepanjang perjalanan ke tempat kerja dari Puchong menghala ke Seri Kembangan.

kejutan, hari lahir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain