suria

Bahang Matahari Lebih Perit Banding Krisis Diplomatik

SAAT aku menulis ini, Ramadan sudah memasuki hari yang ke-24.  Dan suhu di Doha mencecah 47 darjah Celsius. Kadangkala menurun satu atau dua darjah.

Panasnya menggigit kulit bagai semut api yang mengamuk kerana sarangnya di kacau.

Di sebelah malamnya, suhu menurun sehingga 44 darjah Celsius. Walaupun terik menghilang, bahangnya tetap membara bersama gelita malam. Haba yang terkumpul di siang hari, menjarah masa menghambat peluh keluar dari tubuh.

Namun di sebalik terik dan hangat itu, pohon-pohon kurma mula membuah. Entah bila masaknya tidak diketahui.

Ada umat Islam masih mampu meredah haba yang merata di setiap pelusuk kota. Mereka berkumpul di masjid-masjid menunaikan solat Terawih.

Krisis diplomatik yang melanda Qatar hanya semacam isu bisik-bisik. Ia ada, namun tidak menjadi penghalang buat kaki-kaki penduduk Doha meneruskan kehidupan.

Aktiviti memberi juadah berbuka puasa percuma tetap berlangsung seperti selalu. Meriahnya tetap sama di setiap masjid seperti tahun-tahun lalu.

Pada Sabtu, 18 Jun, aku dan Norman mengunjungi Pasa Raya Lulu, iaitu antara pasar raya yang terkenal dan setanding Carefour kalau di Malaysia. Tetapi dengan harga barang yang sedikit murah.

Tidak ada bezanya seperti sebelum krisis. Makanan tetap penuh tersusun di rak–rak sama seperti yang telah apa aku ceritakan sebelum ini.

Cuma kali ini tiada lagi produk tenusu keluaran Arab Saudi. Ia telah digantikan dengan produk dari Turki, Iran dan Lubnan.

Prasangka bahawa harga makanan akan naik, juga tinggal bisik-bisik. Harga barang tetap sama. Mungkin akan naik masa akan datang tapi ia di luar kemampuan aku untuk menduga. Jik/da pun, hidup perlu diteruskan.

Dan hidup, bersama krisis yang dibalik tirai, sedikit sebanyak menaikkan sikap waspada. Kerana apa-apa sahaja kemungkinan mampu berlaku. Persoalannya hanya bila.

Aku teringat perbualan aku dengan Tok Wee, jurutera kapal terbang warganegara Singapura. Waktu itu permulaan krisis di Yaman.

Aku dan Tok Wee berpendapat, adalah lebih selamat untuk mengeluarkan semua wang gaji dari bank. Tinggalkan sedikit saja - antara 500 ke 1,000 riyal untuk tujuan membayar bil.

Ini kerana jika apa-apa terjadi sekurang-kurangnya kau mempunyai wang tunai di tangan.

Alhamdulillah, itu amalan aku sejak setahun dulu. Tapi tidaklah aku mendoakan berlaku apa-apa musibah. Sekadar langkah-langkah berjaga secara peribadi.

Setakat ini Qatar Airways masih mampu berdiri teguh walaupun empat destinasi telah ditutup sepenuhnya.

Beberapa orang kawan juga telah selamat pulang ke tanah air untuk menyambut hari raya. Akan akan pulang saat cerita ini tersiar nanti.

Berita terbaru, Qatar tidak akan menutup penyaluran gas ke UAE walaupun mereka telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Ini satu kematangan yang harus dirai.

Warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain masih terus bekerja di sini tanpa diganggu oleh pihak atasan. Kerisauan hanya tertera pada minggu pertama krisis.

Masuk saat ini, sudah hari yang ke-14 krisis melanda. Yang memeritkan adalah matahari yang terus-menerus menggarangi kami.

Menteri luar UAE menegaskan bahawa krisis di Qatar boleh mencecah selama satu tahun. Dia menggesa Qatar menarik balik kenyataannya yang konon menyokong pengganas. Namun tuduhan itu telah dinafikan oleh Qatar.


Benarkah krisis ini mampu berlanjutan sebegitu lama? Tidak aku atau sesiapa mampu menduganya. Sama-sama kirta tunggu dan lihat

Jika ada diantara pembaca yang mempunyai kawan atau saudara di Qatar, jangan risau, keadaan masih aman. Kehidupan masih lancar tanpa ada sebarang halangan atau kesulitan.

Mulai Isnin, aku menduga rakyat Malaysia di Qatar akan membanjiri lapangan terbang untuk pulang beraya. Sempena ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca. Doakan kami semua selamat pulang ke tanah air.



Ramadan, Aidilfitri, Qatar Airways

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain