suria

"Malu Nak Minta Zakat"

TEMERLOH: "Saya risaukan masa depan dua anak saya ini, jika saya mati nanti rasanya tiada siapa yang boleh saya harapkan untuk jaga mereka.

"Setakat ini tak ada lagi, tak ada lagi yang saya boleh harapkan untuk jaga mereka ini...Harapan memang pada yang lima (beradik) itulah harap ada yang mampu, tapi setakat ini tak ada lagi," kata Abdul Rahman Jusoh.

Abdul Rahman 73, yang membesarkan dua anak orang kurang upaya (OKU) di rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Ladang di sini menarik perhatian netizen yang membaca kisah sedihnya apabila terpaksa menggunakan lampin pakai buang berulang kali akibat kesempitan hidup.

Abdul Rahman berkata, hasil perkahwinannya sebelum ini, dia dikurniakan tujuh anak dan Musa,22, adalah anak bongsu yang menderita kecacatan fizikal hingga tidak mampu untuk bergerak.

Menurutnya, selain Musa yang cacat fizikal sejak dilahirkan, seorang lagi anaknya, Fadzil, 29 turut dikategorikan OKU mental dan penglihatan akibat demam panas ketika berumur 10 tahun.

"Saya harapkan lima lagi adik beradiknya sampai masanya nanti mampu untuk menjaga dua anak saya ini, saya tak pernah rasa beban untuk membesarkan dua anak saya ini tapi rasa tak kuat sebab badan dah tua.

"Ini takdir saya, saya hanya berdoa kalau saya mati,matilah saya...kalau hidup pula biarlah sihat jangan hidup tapi terlantar sakit, siapa nak jaga anak saya.

"Kita hidup ini mesti ada masanya sakit juga, saya tak boleh sakit sebab nak jaga anak-anak saya, sebab itu saya tak boleh kerja jauh, noreh belakang rumah je bolehlah," katanya.

Abdul Rahman mendakwa kisah dia menggunakan lampin pakai buang berulang kali itu sebenarnya salah faham antara pihak tertentu yang datang menziarahinya.

"Saya tak gunakan banyak kali, saya basuh jemur supaya senang untuk dibakar, habislah berkudis dapat penyakit gatal pakai banyak kali," katanya.

-foto Sinar Harian

Abdul Rahman berkata, apa pun dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana yang datang melawatnya hanya bertujuan untuk membantunya, mana yang baik membawa kebaikkan kepadanya dan yang buruk terserah kepadanya.

Abdul Rahman mengakui menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan atas dua nama tetapi tidak menerima lain-lain jenis bantuan.

Menurutnya, dia pernah sekali mengisi borang zakat dan dapat RM500 tetapi baginya ada perasaan malu kerana meminta wang zakat bukan caranya.

"Lepas daripada itu saya tak pernah minta zakat lagi, malu pun ada, saya pun rasa zakat ini bukan kita kena minta...dia (Pusat Zakat) yang kena datang cari mana yang layak dia bagi, bagi saya minta zakat ini tak betul, kalau dia orang nilai kita layak terima kita terima lah," katanya.

Abdul Rahman berkata, belanja yang ditanggung membesarkan anak OKU itu sekitar RM300 sebulan termasuk susu dan lampin pakai buang.

Menurutnya, duit bantuan yang diterima tiap-tiap bulan itu digunakan untuk membeli keperluan itu termasuk belanja dapur ditambah dengan pendapatannya menoreh 50 batang pokok getah tepi rumah.

"Saya sudah 14 tahun membesarkan anak ini, lima anak yang lain dia orang ada pilihan masing-masing dan ada keluarga, saya tak salahkan dia orang, saya tak pernah menyalahkan sesiapa ini takdir saya," katanya.

Kisah Abdul Rahman bapa tunggal yang membesarkan dua anak OKU sejak 14 tahun lalu mendapat perhatian masyarakat apabila rombongan geng pencuci dosa anak muda di daerah ini berkunjung ke rumahnya pada Ahad lalu dan memaparkan kisah keluarga ini di media sosial sehingga tular.

Kumpulan terbabit diketuai pemilik syarikat agensi pelancongan Kembara Sufi Travel Planner Al-Fadhil Hidir mendakwa pendedahan mereka bukan untuk mengaib atau menghukum mana-mana pihak sebaliknya hanya mahukan masyarakat membuka mata dan memberri lebih perhatian kepada golongan istimewa ini khususnya di bulan Ramadan ini.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menampung bantuan bulanan kepada keluarga Abdul Rahman Jusoh, 73 sebanyak RM600 bermula sejak 2012.

Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, bantuan itu diagihkan kepada Abdul Rahman di bawah kategori bantuan orang tua (BOT) sejak 2009 dan bantuan pesakit terlantar (BPT) untuk Fadzil iaitu abang kepada Musa sejak Mei 2012.

Menurutnya, bagi Musa, JKM pernah memberi bantuan kerusi roda kepadanya pada 2009 tetapi pihak keluarganya tidak menggunakannya disebabkan tidak sesuai dengan JKM.

"Saya sudah arahkan JKM Bera melakukan siasatan dan kini mereka bersama Musa berada di Hospital Temerloh untuk mendapatkan kerusi roda yang sesuai untuk kegunaannya," katanya dihubungi, Selasa.

Zulkhairi berkata, bagi menjawab persoalan Abdul Rahman yang bimbang tidak ada siapa yang menjaga kedua-dua anaknya jika dia sudah tiada, JKM mempunyai rumah kebajikan yang boleh menguruskan kedua-dua anak OKU itu.

Menurutnya, JKM akan berbincang dengan keluarga ini samada mereka bersetuju untuk meyerahkan kepada JKM untuk diambilbalih penjagaannya atau sebaliknya, JKM di daerah akan berbincang mengenai perkara ini. -Sinar Harian

lampin pakai buang, kerusi roda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Awas Wahai Perokok!

Artikel Lain