suria

Persatuan Teksi Mahu Individu Lain Teraju SPAD

-Gambar hiasan

SHAH ALAM: Dua persatuan teksi menggesa kerajaan supaya melantik individu lain bagi menerajui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), demi kebaikan industri itu sendiri.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, persatuannya berpendapat Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bukan individu yang tepat untuk menerajui SPAD, berdasarkan insiden yang melanda Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) baru-baru ini.

“Kalau kita lihat kepada latar belakangnya, Mohd Isa lebih dilihat sebagai orang politik, berbanding sebagai tokoh perniagaan. Jadi, saya kurang yakin Mohd Isa mampu melonjakkan industri pengangkutan awam ke tahap yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi dengan apa yang sedang berlaku terhadap FGV sekarang.

“Saya harap, kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk melantik individu lain untuk menerajui SPAD, bagi menggantikan Tan Sri Syed Hamid Albar,” katanya, Selasa.

Ditanya mengenai ciri calon yang sesuai untuk menerajui suruhanjaya itu, beliau tidak mempunyai calon spesifik yang sesuai untuk bagi menjawat jawatan Pengerusi SPAD.

Namun, beliau berharap individu yang dilantik menjadi menerajui suruhanjaya itu mesti mempunyai latar belakang atau pengalaman luas di dalam bidang pengangkutan awam.

Sementara itu, Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubaharin Ismail mencadangkan kerajaan supaya melantik bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad sebagai pengerusi SPAD yang baharu.

Katanya, Ismail mempunyai pengetahuan luas dan perundangan dalam industri pengangkutan awam, berdasarkan pengalamannya sebagai ketua pengarah jabatan terbabit selama tiga tahun.

“Jadi, saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan saya ini, demi kebaikan industri teksi tempatan.

“Saya bercadang untuk menulis surat kepada Mohd Isa, sebaik sahaja beliau mula bertugas, untuk segera melakukan perjumpaan dengan pemain industri bagi mengetahui selok-belok industri pengangkutan awam,” katanya. -Sinar Harian

Isa Samad, SPAD

Artikel Berikut

"Malu Nak Minta Zakat"

Artikel Lain