suria

Kuasa KSU Terhad Luluskan Kontrak

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman selepas mendapatkan perintah reman tujuh hari bermula 5 Januari untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa dan menerima suapan di Mahkamah Majistret Putrajaya. -BERNAMA

PETALING JAYA: Ketua setiausaha (KSU) setiap kementerian hanya dibenarkan menandatangani kontrak bernilai sehingga RM100 juta sahaja.

Sebaliknya, jika nilai kontrak melebihi jumlah tersebut, hanya menteri sahaja dibenarkan untuk memberi kelulusan.

Selain itu, pegawai kerajaan yang terlibat dalam kontrak boleh memastikan KSU tidak membuat keputusan sendiri bagi menentukan pihak yang ditawarkan kontrak.

Perintah reman ke atas KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan dua anak lelakinya selama tujuh hari dalam kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram mencetuskan persoalan tentang kuasa yang dimiliki KSU kementerian.

KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah menetapkan setiap ketua setiausaha memiliki had sehingga RM100 juta untuk menurunkan tandatangan.

"Jika mana-mana kementerian yang mahu melepasi had itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kewangan," kata beliau.

Dalam Laporan Ketua Audit 2014, seorang bekas KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani didapati menandatangani kontrak bernilai RM268.222 juta untuk sebuah syarikat swasta pada 2012 walaupun tidak memiliki kuasa berbuat demikian.

Tindakan itu bertentangan dengan pekeliling yang diedarkan pada 2009 yang menjelaskan bahawa KSU kementerian tersebut hanya boleh menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta dan RM100 juta sepert tertakluk pada Akta yang ditetapkan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kemudiannya mengakui tentang kesilapan itu dan menjelaskan perkara tersebut dilakukan secara tidak sengaja.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kesemua pegawai kanan kementerian perlu memainkan peranan utama untuk memastikan tiada unsur-unsur tidak telus dalam mendapatkan dan memberi kontrak.

"PAC dan Ketua Audit Negara hanya meneliti sama ada prosedur tersebut dipatuhi.

"Terpulang kepada kementerian untuk mengambil tindakan memandangkan kami tidak mengenali individu terlibat berbanding pihak kementerian sendiri," kata Nur Jazlan yang kini merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw berkata, peraturan dan prosedur yang sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal tugas serta tanggungjawab ketua setiausaha.

"Jika mereka melanggar undang-undang, tindakan perlu diambi tanpa mengira kedudukan atau siapa yang mereka kenali," ujarnya.

Seng Giaw berkata, PAC kebiasaannya mencadangkan agar siasatan lebih mendalam dilaksanakan ke atas kes salah tadbir dan perlu melibatkan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur-unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

"Terpulang kepada kerajaan yang berkuasa untuk bertindak atas saranan tersebut," tambahnya.

Satu sumber memaklumkan, ketua setiausaha tidak memiliki kuasa untuk meluluskan projek atas keputusan sendiri.

Kesemua projek perlu dibentangkan kepada lembaga tender yang melibatkan pelbagai jawatankuasa termasuk kewangan dan teknikal.

Pegawai kerajaan yang terlibat dalam proses tender juga perlu tampil daripada kementerian lain seperti Kementerian Kewangan.

Kelulusan daripada Kementerian Kewangan diperlukan sebelum sebarang projek dilaksanakan sama ada menerusi rundingan secara langsung atau tender yang disekat.

Sumber berkenaan menjelaskan, jumlah siling yang ditetapkan kepada pegawai kanan kementerian bergantung kepada kementerian masing-masing.

Ini kerana beberapa kementerian memiliki bajet yang lebih besar dan nilai kontrak juga lebih banyak berbanding kementerian lain.

Sebagai contoh, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengeluarkan notis pada 26 Ogos tahun lalu untuk memberi kuasa kepada KSU Kementerian Pendidikan menandatangani bagi pihak kerajaan ke atas kontrak perkhidmatan, pembekalan dan tugas-tugas lain dengan nilai sehingga  RM100 juta.

Timbalan ketua setiausaha kementerian juga diberi kuasa untuk menandatangani kontrak bernilai sehingga RM50 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain