suria

KPN Nafi Dakwaan Warga Malaysia Dalang Penculikan Sabah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa warga Malaysia merupakan dalang penculikan bagi mendapatkan wang tebusan di pantai timur Sabah pada 2000.

Beliau berkata, ia adalah sekadar dakwaan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, sambil menambah, masalah yang memberi kesan kepada Malaysia itu berpunca dari kumpulan berkenaan.

"Orang-orang dia (Misuari) yang menjadi penjenayah menculik orang-orang kita. Jadi, dia sepatutnya jaga orang dia.

"Kenapa pula kita dipersalahkan? Kita mangsa. Sudah tentu di pihak keluarga mangsa yang diculik itu akan melakukan apa sahaja bagi memastikan ahli keluarga mereka selamat.

"Jadi dialah patut jaga kumpulan dia, penyokong dia supaya jangan melakukan jenayah di kawasan kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-kanak (NUR Alert) menerusi Facebook di Bukit Aman di sini, Jumaat.

Pada Khamis, dilaporkan Misuari yang merupakan pemimpin kumpulan pemisah Islam Filipina itu berkata, beliau mempunyai bukti dakwaan tersebut.

Jelas Misuari, beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, termasuklah mahkamah antarabangsa.

Dilaporkan, Misuari merupakan dalang penculikan di Sipadan, Sabah pada 2000, membabitkan 21 orang termasuk 10 warga Malaysia, yang dilakukan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf untuk mendapatkan wang tebusan.

Turut dilaporkan pada 2014, Misuari dituduh sebagai dalang kes penculikan di Sabah itu dengan menggunakan ahli kumpulannya bagi mengumpul dana untuk membentuk semula tentera upahannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain