suria

Lima Beradik Hilang Selepas Hadir Upacara Keagamaan

- Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Lima adik-beradik dari Pertubuhan Kebajikan Shan De, Johor Baru dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis keagamaan di Taman Ungku Tun Aminah di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata mangsa dikenal pasti sebagai Yeo Soon Chuan, 17, Yeo Soon Shen, 16, Yeo Soon Yuan, 13, Yeo Soon Hoo, 12, dan Yeo Soon Lian, 10.

Beliau berkata, mereka yang memakai baju kemeja-T warna merah jambu, pergi ke pusat persatuan Tian Hou Shen Gong untuk menghadiri upacara keagamaan pada 31 Oktober dan hilang kira-kira pukul 10.30 malam.

"Siasatan mendapati pada mulanya, ibu kepada adik-beradik itu, yang merupakan ibu tunggal, telah meminta untuk membawa balik anak-anaknya dari rumah perlindungan, tetapi permintaannya ditolak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat," kata beliau sambil menambah semua adik beradik telah diletakkan di bawah jagaan rumah perlindungan itu sejak Julai.


Mohd Taib berkata polis telah menjalankan operasi mencari kanak-kanak hilang itu di pelbagai lokasi tetapi masih tiada petunjuk tentang mereka.

"Polis juga gagal untuk menghubungi ibu kepada kanak-kanak ini dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk pergi ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain