suria

AS Tidak Lihat Pembelian Malaysia Sebagai 'Cenderung Ke China'

Daniel Russel
WASHINGTON: Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) bagi Asia Timur berkata pembelian yang dibuat dari China semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China adalah satu tawaran komersial dan tidak 'cenderung' ke China.

Ditanya mengenai Malaysia menunjuk tanda-tanda menjalinkan hubungan ketenteraan lebih rapat dengan China selepas Najib bersetuju membeli empat buah kapal tentera laut China di Beijing pada Selasa, Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel Russel memberitahu taklimat media:

"... Bagi pembelian Malaysia dari China, ia tidak 'cenderung' ke China, ia adalah membuat perjanjian komersial. Semua orang melakukannya. Idea bahawa kerjasama negara ketiga dengan China, dikatakan perkara yang buruk untuk kepentingan kita, ia tidak masuk akal."

Russel berkata hubungan AS dengan Malaysia bertambah baik di bawah Presiden Barack Obama dan menyatakan bahawa lawatan Obama ke Malaysia pada 2014 adalah yang pertama oleh Presiden AS dalam tempoh 50 tahun.

Russel berkata Washington mengalu-alukan hubungan yang lebih baik antara negara-negara Asia Tenggara dan China, termasuk Filipina yang telah melalui tempoh hubungan tegang dengan Washington di bawah presiden baharu mereka, Rodrigo Duterte.

"Kita tidak mahu negara-negara perlu membuat pilihan antara kami. Hubungan kukuh, dan membina hubungan dua hala yang produktif dengan China adalah satu bahagian penting dalam strategi kami. Mengapa ia tidak boleh menjadi satu bahagian penting dalam strategi negara-negara jiran China sendiri? " katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain