suria

Sultan Johor Mahu Hospital Awam Baharu Dibina

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan negeri membina sebuah hospital awam baharu yang dilengkapi peralatan yang lebih baik sebagai kemudahan kepada orang awam.

Pada masa yang sama, baginda turut berharap proses menaiktaraf Hospital Sultanah Aminah yang mengalami kerosakan akibat kebakaran pada 25 Oktober lalu, tidak akan menjejaskan reka bentuk asal bangunan itu yang merupakan bangunan warisan.

Walaupun berdukacita atas kematian enam pesakit dalam tragedi itu, Sultan Ibrahim menyuarakan rasa bangga kerana dapat menyaksikan perpaduan dan keikhlasan rakyatnya semasa kejadian tersebut.

Baginda turut memuji pelbagai usaha staf hospital membantu menyelamatkan pesakit selain sokongan daripada pihak ketiga seperti kerajaan Singapura yang menyalurkan bantuan tenaga, makanan dan kemudahan perubatan bagi meringankan beban mangsa.

"Semangat berpasukan dan saling membantu antara sama lain perlu diteruskan tidak kira dalam keadaan susah atau senang," titah baginda pada program Majlis Himpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang malam Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain