suria

Sembunyi Minyak Masak, Pekedai Runcit Dikenakan Tindakan

LANGKAWI: Seorang pengusaha kedai runcit menjadi individu pertama di Langkawi dikenakan tindakan kerana menyembunyikan minyak masak apabila barangan keperluan seberat 885kg yang bernilai RM2,232 itu dijumpai disembunyikan di premisnya di Kuah, Sabtu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahagian Langkawi Shamnaziman Mohamed Taulan berkata minyak masak 765kg itu dibungkus di dalam beg plastik 1kg setiap satu manakala 120kg lagi masing-masing di dalam botol 5kg, dijumpai disembunyikan di satu sudut dan di bawah kaunter kedai itu di Jalan Pandak Mayah.

"Pengusaha kedai itu gagal memberi jawapan memuaskan tentang stok berlebihan yang dimilikinya, jadi kami mengenakan tindakan terhadapnya kerana membuat perisytiharan palsu dan menyembunyikan minyak masak, yang merupakan barang kawalan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kes itu kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi pemilikan perniagaan individu dan RM2 juta bagi syarikat.

Siasatan setakat ini tidak menunjukkan bahawa barangan yang dirampas itu untuk diseludup keluar dari Langkawi kerana pengusaha kedai itu dipercayai hanya cuba menyimpan stok berikutan khabar angin bahawa harga minyak masak akan dinaikkan tidak lama lagi, kata Shamnaziman. - BERNAMA


sembunyi, minyak masak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain