suria

Dua Mangsa Tragedi Bot Terbalik Dikenal Pasti

Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI: Dua pelancong tempatan yang ditemui lemas dalam tragedi bot terbalik di Tanjung Dawai dekat sini, pagi Ahad telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Yap Wai Shiang, 19, dari Bandar Seri Damansara dan Peek Lai Yee, 34, dari Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati, semasa berada dalam separuh perjalanan iaitu kira-kira satu kilometer ke dataran Pantai Merdeka, kipas bot terlanggar dan terbelit pada tali sauh sebuah bot pukat tunda yang merintangi laluan.

"Sembilan mangsa berjaya diselamatkan oleh tekong bot dan bot lain yang berada berhampiran lokasi dan dibawa ke Jeti Tanjung Dawai dan Jeti Pantai Merdeka," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 10.38 pagi itu, bot yang membawa 12 penumpang serta seorang tekong dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka terbalik di Kuala Sungai Merbok.

Md Zukir berkata kedua-dua mangsa yang lemas disahkan meninggal dunia selepas tiba di jeti Pantai Merdeka dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

"Mayat mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)," katanya. - BERNAMA


bot terbalik, Tanjung Dawai

Artikel Lain