suria

Perkhidmatan ETS Laluan Utara-Selatan Dijangka Beroperasi 3 Petang Ini

Perkhidmatan ETS akan beroperasi semula 3 petang Ahad.

IPOH: Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) laluan utara-selatan yang terjejas ekoran kejadian tren kargo tergelincir di Kampung Bakap berhampiran Stesen Batu Gajah dekat sini, dijangka beroperasi semula mulai pukul 3 petang Ahad.

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Siti Badariah Wan Hanafi berkata kelewatan daripada sasaran awal pukul 5 pagi itu berlaku disebabkan beberapa masalah teknikal.

"Namun kerjasama dan usaha keras kakitangan KTMB tanpa henti, satu landasan kereta api dijangka boleh dilalui mulai pukul 3 petang ini.

"Perkhidmatan tren dijangka mengalami kelewatan melebihi 30 minit kerana akan menggunakan satu laluan sahaja," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata perkhidmatan ETS bagi laluan utara-selatan akan beroperasi seperti biasa mulai 5 pagi hari ini.

Nawawi berkata ia berikutan kerja membaik pulih laluan tren Ipoh-Kampar sepanjang 100 meter yang terjejas berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Siti Badariah berkata kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir telah selesai dan kini kerja membaiki landasan yang terlibat sedang giat dijalankan.

Beliau berkata pihaknya masih menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa penumpang yang terkandas ke Stesen Keretapi Ipoh dan Kampar.

Pada kejadian 3.15 pagi pada Jumaat lalu, dua lokomotif dan 40 gerabak dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen, tergelincir di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di sini.

Dalam insiden itu, dua lokomotif dan 25 gerabak tergelincir daripada landasan. - BERNAMA


ETS, KTMB

Artikel Lain